Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

138) MASALAH BANJIR DI BUKIT LANCHONG

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Preakas A/l Sampunathan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan JKR / PTD dan PPT terhadap isu banjir di Bukit Lanchong pada jangka pendek dan panjang? Banjir disebabkan isu saliran dan pembersihan yang tidak dijalankan mengikut jadual.

    Untuk makluman Yang Berhormat, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor bertanggungjawab menyelenggara parit utama sepanjang 2.8km di Kg. Bukit Lanchong. Berikut adalah tindakan yang telah diambil oleh JPS Negeri Selangor:-

     

    Tindakan Jangka Pendek

    • Melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan secara berkala yang merangkumi kerja memotong rumput, membersihkan halangan kecil di struktur aset JPS termasuk railing, culvert,sump dan flap gate di sepanjang parit utama. Kerja penyelenggaraan secara berkala mengikut tahunan bermula pada bulan Jun 2024 dan dijangka siap pada bulan Jun 2025.

     

    • Melaksanakan kerja-kerja pengorekan dan membuang halangan vegetasi di dalam parit utama sehingga ke Sungai Klang secara one-off pada bulan September 2024.

     

    • Kerja pembinaan ban dan denai di tebing kanan Sungai Klang yang didapati berpotensi menghadapi risiko banjir berhampiran Lebuhraya Elite yang akan siap sepenuhnya pada bulan November 2024.

     

    • Memastikan sebanyak empat (4) buah pam berkapasiti tinggi mampu beroperasi dengan baik ketika diperlukan terutamanya semasa musim Monsun Timur Laut (MTL).

     

    Tindakan Jangka Panjang 

    • Pelaksanaan Projek Membina, Membekal, Memasang dan Menguji Pam di Pintu Air Bukit Lanchong telah siap sepenuhnya pada tahun 2016.
    • Pelaksanaan Projek Menaiktaraf Parit Utama dan Sistem Parit Dalaman Kg. Bukit Lanchong siap pada tahun 2020.

     

    • Kerja-Kerja Penstabilan dan Pengukuhan Ban Sungai Klang dan Lain-Lain Kerja Berkaitan di Kampung Bukit Lanchong, Puchong, Daerah Petaling siap pada tahun 2022.

     

    • Kerja-Kerja Pengukuhan Ban Sungai Klang dan Lain-Lain Kerja Berkaitan Berhampiran Jalan PPRT Puchong, Daerah Petaling siap pada tahun 2023.
    • Kerja-Kerja Pengukuhan Ban Parit Ikan Seluang dan Lain-Lain Kerja Berkaitan di Kampung Bukit Lanchong, Daerah Petaling siap pada tahun
    • Menambahbaik Infrastruktur di Kg. Bukit Lanchong siap pada tahun 2023.

     

    • Kerja-kerja Membina Penahan Tebing Parit Ikan Keli dan Lain-Lain Kerja Berkaitan Berhampiran Kampung Bukit Lanchong, Daerah Petaling siap pada tahun 2024.

     

    • Kolam Takungan Dwi-Fungsi Bagi Tebatan Banjir dan Sumber Bekalan Air Mentah Sungai Klang – Sungai, Selangor (Pakej B : Rancangan Tebatan Banjir Sungai Klang, Daerah Petaling, Selangor) mula dilaksanakan pada tahun 2024 dan sedang dalam peringkat reka bentuk.

     

    Maklumat Tambahan:

     

    Untuk makluman, pihak JPS hanya bertanggungjawab menyelenggara parit utama Kg. Bukit Lanchong di sepanjang 2.8km.

  2. Apakah status longkang dan parit yang tidak mempunyai tuan?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor memperuntukkan sebanyak RM5,000,000.00 di bawah Peruntukan Akaun Amanah Caruman Parit untuk melaksanakan Kerja-Kerja Penyelenggaraan Parit Tidak Bertuan Secara One-Off dan Berperingkat di Negeri Selangor secara dua (2) Fasa dengan masing-masing sebanyak RM2,500,000.00 bagi setiap satu fasa.

     

    Bagi Fasa 1, peruntukan sebanyak RM2,500,000.00 telah diperuntukkan untuk pelaksanaan kerja penyelenggaran. Berikut adalah perincian kerja yang akan dilaksanakan melibatkan Daerah Petaling:-

     

    Bil. Tajuk Kerja Skop  Kos

    (RM)

    Tarikh Mula

    Tarikh Siap

    Status
    1. Kerja-Kerja Pembersihan Parit Tidak Bertuan Secara One-Off, Daerah Petaling, Selangor Darul Ehsan (Fasa 1) Kerja-kerja menyelenggara, membersih dan membuang mendapan/ kelodak/ tanah/ tumbuhan termasuk membersihkan kawasan tebing, pagar, semua pokok pelbagai saiz, merobohkan struktur haram, membersihkan barang lusuh dan juga sampah-sarap 103,850.00 4.11.2024

    15.12.2024

    Dalam Pelaksanaan

     

    Bagi Fasa 2 pula, JPS Negeri Selangor sedang membuat penilaian terhadap parit dan longkang yang tidak bertuan melibatkan maklumat yang diperoleh daripada agensi lain iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) kerana keperluan pelaksanaan kerja penyelenggaraan tersebut akan mengambil kira keutamaan berdasarkan lokasi hotspot banjir. Bagaimanapun, pelaksanaan kerja penyelenggaraan tersebut tetap akan diteruskan pada tahun 2024 ini sebagai persediaan menghadapi kemuncak musim Monsun Timur Laut (MTL).

     

    Untuk makluman Yang Berhormat, JPS Negeri Selangor hanya melaksanakan kerja penyelenggaraan parit tidak bertuan secara one-off pada tahun 2024 sahaja bagi tujuan mengurangkan risiko banjir terutama di kawasan hotspot banjir. Seksyen Makro dan Penswastaan, UPEN akan menyelaras dasar parit, longkang dan jalan tidak bertuan di seluruh Negeri Selangor bagi menentukan pemilikan parit, longkang dan jalan tidak bertuan. Hasil penyelarasan dan penentuan pemilikan parit, longkang dan jalan tidak bertuan akan diangkat untuk pertimbangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum berakhir tahun 2024.

  3. Agensi yang mana bertanggungjawap dan jadual pembersihan sistem saliran, perparitan serta pemantaun?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling mempunyai fungsi masing-masing dalam menyelia dan menyelaras kerja pembersihan sistem saliran dan perparitan di bawah tanggung jawab masing-masing. Untuk makluman, JPS Negeri Selangor hanya melaksanakan kerja pembersihan sistem saliran dan perparitan melibatkan sungai dan parit monsun sahaja.

Lampiran

Tiada Lampiran.