Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018
184) MASALAH BANJIR
Tahun: 2018
Sesi: 3
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah tindakan Kerajaan Negeri untuk memastikan masalah banjir dan ban pecah tidak mengancam petani-petani khususnya di kawasan DUN Sungai Air Tawar yang berhampiran laut?
Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran serta agensi-agensi lain yang berkaitan telah merancang dan melaksanakan program-program bagi memastikan masalah banjir dan ban pecah tidak mengancam petani dengan melaksanakan program pemantauan secara berterusan dan melaksanakan program jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang berdasarkan keperluan dan keupayaan jabatan. Selain itu, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan juga melaksanakan program penanaman pokok bakau dengan kerjasama agensi-agensi lain. Program ini telah dijadikan sebagai program tahunan jabatan berkenaan. Selain itu, pelaksanaan pembaikan tebing dengan menggunakan teknik setempat seperti penggunaan batang kelapa/nibong juga dapat membantu mengurangkan kesan hakisan pantai akibat ombak.
-
Nyatakan langkah yang diambil.
Antara langkah-langkah yang dibuat adalah terdiri dari empat bahagian iaitu:
i, Program pemantauan
- Program ini melibatkan pemantauan berterusan mengikut keperluan yang dilaksanakan oleh agensi-agensi berkaitan yang diketuai oleh Pejabat Daerah dan Tanah. Antara program yang dilaksanakan adalah seperti pemantauan fenomena air pasang besar.
- Selain itu, pihak jabatan juga membuat pemantauan berkala di kawasan yang berisiko sebanyak 2 kali sebulan terutama semasa tempoh air pasang tinggi dan pemantauan 24 jam semasa hari kejadian.
ii. Program Jangka Pendek (menggunakan tenaga kerja sediada)
- Memastikan kunci air sentiasa dibuka atau ditutup mengikut jadual air pasang surut laut dan keperluan pengairan pertanian di kawasan.
- Paras air di parit-parit borrowpit sentiasa direndahkan terutamanya pada musim hujan dan fenomena air pasang besar bagi menggurangkan resiko kejadian banjir berlaku.
- Memasang pam-pam bergerak dilokasi yang dikenalpasti bagi mengurangkan banjir, mengikut keperluan dan keupayaan jabatan.
iii.Program Jangka Sederhana (menggunakan peruntukan mengurus sediada)
- Memastikan parit-parit diselenggara secara berkala melalui program pembersihan parit secara gotongroyong oleh pihak JKKK
- Memastikan parit yang sebu atau cetek akan didalamkan melalui kerja-kerja pengorekan parit mengikut keperluan dan keupayaan jabatan
- Memastikan benteng-benteng yang rosak diselenggara mengikut keperluan degan melaksanakan kerja-kerja pembaikan kecil
- Memastikan struktur-struktur seperti kunci air diselenggara mengikut jadual dan memastikan ianya dapat beroperasi dengan baik.
iv. Program Jangka Panjang (menggunakan peruntukan pembangunan)
Merancang projek-projek bagi mengurangkan risiko banjir:
- Projek naiktaraf kunci air Sungai Lang (telah siap dilaksanakan)
- Projek naiktaraf kunci air Beting Kepah (dalam proses rekabentuk)
- Projek naiktaraf benteng di Sungai Lang fasa 1 (telah siap dilaksanakan)
- Projek naiktaraf benteng di Sungai Lang fasa 2 (telah siap dilaksanakan)
-
Nyatakan jumlah peruntukan yang disediakan untuk tujuan tersebut.
Jumlah peruntukan yang telah diperuntukan bagi tujuan ini adalah mengikut pecahan berikut:
- Peruntukan mengurus: RM250,000.00 setahun (Anggaran)
- Projek naiktaraf Pintu Air Sungai Lang: RM2,118,940.00
- Projek naiktaraf Pintu Air Beting Kepah: RM2,500,000.00 (Anggaran)
- Projek naiktaraf benteng di Sungai Lang fasa 1: RM3,895,500.00
- Projek naiktaraf benteng di Sungai Lang fasa 2: RM3,572,915.50