Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
41) MASALAH ANJING LIAR YANG MENINGKAT
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Langkah baru bagi menangani masalah ini yang kian meruncing?
Praktis yang dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam menyelesaikan isu populasi anjing liar di kawasan-kawasan kediaman atau perumahan khususnya di kawasan bandar adalah dengan melaksanakan operasi tangkapan anjing liar secara berkala terutamanya di kawasan hotspot aduan anjing liar dengan menggunakan kaedah pemasangan perangkap, tangkapan menggunakan jaring dan loop atau menggunakan umpan. Anjing yang ditangkap akan disimpan di pusat kurungan haiwan dan jika tiada sesiapa menuntut semula dalam tempoh masa tujuh (7) hari, anjing tersebut akan dilupuskan dengan cara suntikan oleh doktor veterinar yang terlatih. Pelaksanaan tangkapan anjing liar dan kaedah pelupusan ini adalah berlandaskan Pekeliling Ketua Setiausaha Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Bilangan 5 Tahun 2014: Tatacara Operasi Piawai (SOP) Penangkapan dan Pelupusan Anjing Terbiar Di Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan dan dipantau oleh pihak Jabatan Veterinar daerah.
Selain itu, langkah baharu yang dilaksanakan oleh PBT bagi menangani isu ini adalah PBT melaksanakan program haiwan angkat (adoption) dengan menghantar anjing yang ditangkap ke pusat kurungan di Pusat Kurungan Haiwan Sementara, serta diserahkan kepada NGO jika berminat dan perlu mendapatkan lesen. Walau bagaimanapun, anjing akan dilupuskan jika berpotensi berpenyakit Rabies. Bagi tujuan ini, terdapat cadangan baharu untuk pembinaan Pusat Tahanan Haiwan Sementara seperti di Kawasan Industri Kencana, Hulu Langat dan Batu 1 Jalan Sultan Abdul Samad, Banting. Selain itu, PBT turut bekerjasama dengan NGO untuk menjalankan kempen pemandulan haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing bagi mengawal populasi haiwan tersebut contohnya Program Sayangi Kucing, ”We Love Cat” oleh pihak Majlis Perbandaran Selayang; Program Kucing Angkat oleh Majlis Bandaraya Shah Alam; dan kerjasama diantara pihak Fauziah Paws Care (NGO) daripada Pertubuhan Kebajikan Haiwan Terbiar Sungai Buloh dengan Majlis Perbandaran Kuala Langat.
-
Apakah tindakan segera bagi menangani masalah ini?
Tindakan segera oleh PBT bagi menangani masalah ini adalah melaksanakan operasi bersepadu menangkap anjing liar bersama Jabatan Veterinar di kawasan hotspot.