Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

157) MASALAH ANJING LIAR DI KAWASAN PBT DAN BUKAN PBT

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Datuk Wira Johan Bin Abd Aziz

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan efisen terhadap isu ini?

    Kerajaan Negeri sedang meneliti untuk menggunapakai konsep Trap-Neuter-Vaccinate-Return (TNVR) di mana anjing yang ditangkap akan dimandulkan, divaksin dan dilepaskan semula di kawasan asalnya. Antara kelebihan konsep TNVR ini adalah seperti berikut:

     

    1. Mengurangkan Populasi Anjing Liar

    Dengan mensterilkan anjing, TNVR mengurangkan kadar kelahiran anak anjing liar. Perkara ini secara langsung membantu mengawal serta mengurangkan populasi anjing liar dalam jangka masa panjang.

     

    1. Mengurangkan Risiko Penyakit Berbahaya

    Vaksinasi membantu memberi perlindungan kepada haiwan daripada dijangkiti penyakit berbahaya serta mengurangkan risiko penyebaran penyakit zoonotik yang boleh menjangkiti manusia.

     

    • Mengurangkan Gangguan di Komuniti

    Anjing yang telah disterilkan cenderung kepada perilaku yang kurang agresif. Ini secara langsung mengurangkan berlakunya kacau ganggu oleh haiwan tersebut.

     

    1. Pendekatan yang Lebih Manusiawi

    TNVR adalah alternatif yang lebih manusiawi berbanding dengan menangkap dan melupuskan anjing liar. Menerusi pendekatan tersebut, haiwan berkenaan dapat hidup dengan lebih baik di habitat semulajadi dengan dikawal tanpa pertambahan populasi.

  2. Apakah langkah sesuai yang boleh digunakan di kawasan kampung dan agensi yang perlu dilibatkan dalam menangani isu ini?

    Pelaksanaan TVNR merupakan langkah yang praktikal dan berkesan untuk jangka masa panjang dalam menangani masalah haiwan liar di Negeri Selangor. Pelaksanaan TVNR ini memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Veterinar, Kementerian Kesihatan Malaysia, Persatuan Kebajikan Haiwan dan komuniti setempat bagi menangani isu anjing liar termasuk di kawasan kampung.

Lampiran

Tiada Lampiran.