Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

175) MASALAH ANJING LIAR

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Mohd Najwan Bin Halimi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan serta rancangan Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah anjing liar yang semakin banyak berkeliaran terutamanya di kawasan-kawasan perumahan di sekitar bandaraya Shah Alam?

    MBSA melaksanakan kerja-kerja kawalan anjing liar dengan menggunapakai Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Bilangan 5 Tahun 2014 : Tatacara Operasi Piawai (SOP) Penangkapan dan Pelupusan Anjing Terbiar di Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan. Kaedah penangkapan yang digunakan adalah seperti berikut :

    1. Penggunaan perangkap iaitu pemasangan perangkap di kawasan hot-spot
    2. Tangkapan menggunakan jaring dan loop
    3. Menggunakan umpan

    Bagi perlaksanaan kerja-kerja tangkapan anjing berkeliaran ini, MBSA mempunyai 2 pasukan iaitu pasukan in-house MBSA dan syarikat kontraktor yang dilantik. Terdapat 3 zon kontrak penangkapan anjing di kawasan Shah Alam iaitu Zon Tengah (Seksyen 2 – Seksyen 24), Zon Utara (Seksyen U1 – Seksyen U10, Seksyen U14 – Seksyen U20) dan Zon Selatan (Seksyen 25- Seksyen 36, Seksyen U11 – Seksyen U13). Pada tahun 2022, MBSA telah menangkap sejumlah 3,941 ekor anjing berkeliaran.

    MBSA telah merancang dan melaksanakan cadangan bagi penyelesaian isu anjing berkeliaran di kawasan Shah Alam seperti berikut :

    Jangka Pendek :

    • Melaksanakan operasi tangkapan anjing berkeliaran di kawasan hot-spot dengan kerjasama pihak Majlis Perwakilan Penduduk (MPP).
    • Melaksanakan operasi pemasangan perangkap di kawasan hot-spot
    • Penambahan bilangan perangkap sediada dan pembaikkan perangkap yang telah rosak
    • Menguatkuasakan undang-undang / peraturan lesen anjing peliharaan di kediaman / komersial / tapak bina
    • Melaksanakan program haiwan angkat (adoption)

    Jangka Pertengahan

    • Mengenalpasti kawasan hot-spot aduan anjing liar
    • Mengenalpasti punca urungan anjing dikawasan hot-spot
    • Menguatkuasakan peraturan berkaitan kebersihan premis / lot kosong yang dikenalpasti sebagai habitat anjing (cth: memasang pagar pada lot kosong etc)
    • Menjalankan aktiviti semburan kencing harimau di kawasan komersial
    • Mempromosikan kempen pemilikan haiwan bertanggungjawab

    Jangka Panjang

    • Mewujudkan pusat pengurusan haiwan bersepadu
    • Mempromosikan kempen melesenkan anjing peliharaan di Shah Alam
    • Menggunakan peralatan terkini seperti ‘tele-dart’ dalam operasi tangkapan anjing berkeliaran dan terbiar
    • Memberi latihan intensif berkaitan kaedah penangkapan anjing liar kepada kakitangan dari masa ke semasa
    • Mempromosikan program melesenkan anjing peliharaan di Shah Alam

Lampiran

Tiada Lampiran.