Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

72) MASALAH AKSES BEKALAN AIR LEBIH 10 TAHUN DI KAMPUNG ORANG ASLI SUNGAI BUAH

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Datuk Seri Jamil Bin Salleh

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah Kerajaan Selangor untuk mengatasi tiadanya akses terhadap 14 buah rumah orang asli di Kampung orang asli Sungai Buah Dalam yang sudah berlarutan lebih 10 tahun?

    Untuk makluman Yang Berhormat Dengkil, Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Orang Asli telah memperuntukan sebanyak RM 2.5 juta bagi tahun 2024 untuk tujuan Pembangunan dan hal ehwal Orang Asli dalam usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli meliputi tujuh fokus utama iaitu pewartaan tanah, pendidikan, infrastruktur, ekonomi, kepimpinan, kebudayaan dan kesihatan.

    Kerajaan Negeri Selangor juga telah merancang dan sedang menjalankan pelbagai program yang memberi tumpuan kepada pembangunan masyarakat Orang Asli seperti program menaiktaraf dan membaik pulih kediaman orang asli, menaik taraf dan menambah baik infrastruktur asas dalam kampung orang asli dan juga pembangunan pendidikan, kesihatan dan ekonomi.

    Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sentiasa komited dalam memastikan masyarakat luar bandar terutamanya masyarakat Orang Asli tidak ketinggalan dalam menerima kemudahan infrastruktur asas.

    Untuk makluman Yang Berhormat jua, projek Bekalan Air di Kampung Orang Asli Sungai Buah telah diluluskan melalui Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dengan kos keseluruhan berjumlah RM500,000.00.

    Projek ini merangkumi skop kerja pemasangan paip baharu bermula dari paip utama dari jalan utama hingga ke rumah-rumah penduduk yang belum mempunyai bekalan air bersih. Pemasangan paip ini melibatkan 10 buah rumah / akaun baharu.

    Projek ini dalam peringkat penyediaan Senarai Kuantiti (Bill Of Quantities – BQ) dan dijadualkan melalui proses perolehan secara Sebut Harga akan dilaksanakan pada penghujung Julai 2024.

    Jika ada soalan tambahan:

    Akses jalan dalam kampung di Kampung Orang Asli Sungai Buah yang tidak baik, Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Orang Asli, telah meluluskan Pelaksanaan Program Membaik Pulih Jalan Lorong Di Kampung Orang Asli Sungai Buah dengan peruntukan sebanyak RM98,580. Program baik pulih dan naik taraf kemudahan jalan kampung ini adala bertujuan untuk memberi kemudahan kepada penduduk kampung dan menjamin keselamatan penduduk setempat yang menggunakan laluan tersebut yang merupakan akses utama menghubungkan dan bagi pergerakan masyarakat Orang Asli dalam kampung.

Lampiran

Tiada Lampiran.