Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
10) MASALAH AIR
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Datuk Abdul Rashid Bin Asari
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah langkah dan usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah pencemaran air?
Kerajaan Negeri Selangor melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menggunakan pendekatan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu/ Integrated River Basin Management (IRBM) dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan bagi mengatasi masalah pencemaran air. Berdasarkan pendekatan tersebut, LUAS melaksanakan langkah dan usaha merangkumi seperti berikut;
- Menjalankan Kajian Inventori Guna Tanah Di Rizab Sungai bagi sungai-sungai yang berisiko;
- Melaksanakan pemantauan 24 jam melalui Skuad Pantas LUAS di lembangan sungai strategik;
- Melaksanakan pemasangan stesen telemetri kualiti air di hulu muka sauk sebagai sistem amaran awal/ early warning;
- Melaksanakan River Monitoring Program, RMP dengan pendekatan blok pemantauan kualiti air di sepanjang outfall atau kemasukan aliran ke sungai utama dan anak sungai:
- Pengenaan kompaun atau sehingga tindakan pendakwaan bagi kesalahan di bawah seksyen 79(4), Enakmen LUAS (Pindaan) 2020 dengan dengan denda minimum RM 200 ribu sehingga RM 1 juta dan penjara minimum tiga (3) tahun;
- Mempergiatkan usaha dan penglibatan komuniti melalui inisiatif Friends of River (FOR); dan
- Pelaksanaan Zero Discharge Policy (ZDP) dengan pendekatan Polluters Pay Principle (PPP).
-
Apakah tindakan yang boleh dan akan dilakukan oleh Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah kekerapan gangguan bekalan air yang berlaku?
Tindakan Kerajaan Negeri melalui LUAS bagi mengatasi masalah kekerapan gangguan bekalan air berpunca daripada permasalahan sumber air merangkumi;
- Melaksanakan pemantauan 24 jam melalui Skuad Pantas LUAS di lembangan sungai strategik;
- Melaksanakan pemasangan stesen telemetri kualiti air di hulu muka sauk sebagai sistem amaran awal/ early warning;
- Pengepaman air kolam alternatif ke sungai seperti di kolam Bestari Jaya bagi tujuan meningkatkan kapasiti aliran Sungai Selangor dan seterusnya meningkatkan kadar pencairan jika melibatkan permasalahan kualiti air untuk pembekalan air ke muka sauk; dan
- Pelaksanaan Zero Discharge Policy (ZDP) dengan pendekatan Polluters Pay Principle (PPP).
AIR SELANGOR
- Terdapat dua (2) jenis gangguan bekalan air iaitu Gangguan Bekalan Air Berjadual dan Gangguan Bekalan Air Tidak Berjadual.
Bagi Gangguan Bekalan Air Berjadual, ia dijalankan bagi perlaksanaan kerja-kerja penyenggaraan serta penggantian aset usang secara berkala bagi mengelakkan sebarang kerosakan tidak dijangka yang boleh menyebabkan henti tugas sementara / gangguan air tidak berjadual.
Manakala, Gangguan Bekalan Air Tidak Berjadual pula merujuk kepada gangguan bekalan air yang berlaku susulan henti tugas sementara yang berpunca dari beberapa faktor luar kawalan seperti pencemaran sumber air mentah, paip pecah dan lain-lain. Bagi mengurangkan kesan kepada pengguna, Air Selangor merancang untuk meningkatkan rizab margin air dengan pembinaan loji-loji rawatan air baharu serta melaksanakan projek penggantian paip usang secara berperingkat – yang tertakluk kepada kemampuan kewangan.
Bagi mengatasi masalah kekerapan gangguan bekalan air di Selangor, Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil tindakan-tindakan berikut iaitu:
- Pertama, menerusi kerjasama antara Air Selangor dan agensi terlibat bagi membuat pemantauan dan pengawasan lembangan sungai selama 24 jam / sehari bagi Lembangan Sg. Selangor dan Sg. Langat ada dilaksanakan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Air Selangor. Pihak Air Selangor juga bersama-sama membantu pihak LUAS melaksanakan persampelan kualiti air mentah di Lembangan Sg. Selangor, Sg. Langat, Sg. Tengi, Sg. Klang dan Sg. Buloh.
- Kedua, menerusi kerjasama dengan pelbagai agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam Kumpulan Kerja Kecemasan Aplikasi Whatsapp ‘OPS SUMBER AIR 2.0’ bagi pemakluman awal sebarang kes pencemaran dan tindakan siasatan susulan segera bersama serta perlaporan kes pencemaran di Negeri Selangor. OPS SUMBER AIR 2.0 juga meliputi insiden yang berlaku di sempadan negeri yang melibatkan Sg. Bernam, Sg. Labu, Sg. Semantan dan Sg. Semenyih.
- Ketiga, penguatkuasaan undang-undang dalam menjamin kelestarian sumber air mentah seperti Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA), Seksyen 430 Kanun Keseksaan Polis Di Raja Malaysia berkenaan penyusutan air terawat, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Enakmen LUAS 1999 dan undang-undang yang berkenaan dari pihak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
- Dan keempat, menerusi Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) – Projek pembinaan infrastuktur pengepaman terus dari kolam HORAS dan ORS sebagai sumber air mentah altenatif semasa pencemaran berlaku di sungai-sungai. SJAM dijangka akan siap pada akhir suku ketiga 2024 dan dijangka akan beroperasi pada tahun 2025 bagi menangani isu pencemaran di Sungai Selangor dan Sungai Semenyih. Melalui projek SJAM, pengurusan air secara holistik dapat dilaksanakan dan menjamin kecukupan air mentah bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air tidak berjadual.