Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

194) MANFAAT JOM SHOPPING

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sejauh manakah program ini memberikan impak positif kepada penerima?

    Program pemberian bantuan secara baucar atau lebih dikenali sebagai Jom Shopping ini terdiri daripada dua kategori seperti berikut:

     

    1. Program Pemberian Bantuan Secara Baucar Untuk Rakyat Miskin Bersempena Perayaan (Jom Shopping Perayaan); dan
    2. Program Baucar Beli Belah SMUE (Jom Shopping SMUE).

     

    Untuk makluman Yang Berhormat Hulu Bernam, Program Jom Shopping Perayaan ini merupakan program bantuan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri secara tahunan sejak tahun 2012 melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Sosio-Ekonomi. Ianya merupakan program bantuan bersempena tiga (3) perayaan utama iaitu Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali di mana setiap keluarga yang kurang berkemampuan akan diberikan baucar untuk pembelian barangan keperluan bernilai RM100 di pasar raya yang terpilih.

     

    Manakala program Jom Shopping SMUE pula diwujudkan untuk memberikan manfaat semasa hidup berbentuk ‘One Off’ kepada mereka yang berumur 60 tahun ke atas dan berdaftar dengan Skim Mesra Usia Emas (SMUE). Objektif utama program ini adalah untuk membawa warga emas ini keluar daripada kepompong sindrom ‘Empty Bird Nest’ yang mereka alami apabila sering ditinggalkan keseorangan di rumah dan anak-anak pula sibuk mencari rezeki. Kebanyakannya, keluarga mereka memilih untuk membelikan keperluan warga emas berkenaan tanpa membawa mereka bersama kerana pelbagai kekangan. Justeru, melalui program Jom Shopping SMUE ini, warga emas akan dibawa ke pasaraya, diberikan kebebasan berbelanja serta memilih sendiri keperluan berdasarkan cita rasa mereka.

     

    Walaupun tujuan asal diwujudkan kedua-dua program ini adalah untuk meringankan bebanan keluarga yang berpendapatan rendah dalam membuat persiapan menyambut perayaan dan memberikan keceriaan kepada warga emas, namun dalam masa yang sama, ia sedikit sebanyak telah dapat juga membantu keluarga terutamanya daripada golongan berpendapatan rendah meringankan bebanan kos sara hidup yang terpaksa mereka tanggung ketika pandemik Covid-19 ini. Melihat kepada sambutan dan keceriaan setiap ahli yang dibawa berbelanja di pasaraya-pasaraya yang mengambil bahagian, Kerajaan Negeri amat yakin program yang diwujudkan ini telah berjaya mencapai matlamatnya.

  2. Adakah ia dapat meringankan beban kenaikan kos sara hidup rakyat sejak pandemik COVID-19 melanda?

    Jawapan adalah sama seperti di atas.

Lampiran

Tiada Lampiran.