Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
40) MAKLUMAT SISTEM SSIPR
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Sains, Teknologi & ICT
Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah sistem SSIPR mencatatkan maklumat penting sebagai contoh penerima bantuan oleh Jabatan JAIS, JKM dan lain-lain?
Untuk makluman Yang Berhormat Bandar Utama, Sistem Smart Inisiatif Peduli Rakyat (SSIPR) merupakan suatu gerbang berasaskan konsep one stop centre bagi memudahkan rakyat Selangor melaksanakan urusan pendaftaran, permohonan dan penyemakan secara dalam talian bagi 33 Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor berdasarkan kepada kriteria dan kelayakan yang telah ditetapkan oleh setiap IPR. Bagi tujuan pendaftaran dan semakan kelayakan berdasarkan kriteria IPR, maklumat pemohon yang direkod dan disimpan oleh SSIPR hanyalah maklumat asas seperti jantina, bangsa, alamat, pendapatan bulanan, pekerjaan, status perkahwinan, maklumat pasangan dan maklumat isi rumah.
SSIPR tiada rekod dan status penerima bantuan selain daripada IPR seperti bantuan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (selain Bantuan Am yang tersenarai sebagai IPR), memandangkan sistem ini adalah sebagai platform rakyat mendapatkan manfaat 33 IPR yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.
-
Apakah Ahli Dewan Negeri boleh mengakses kepada data penuh penduduk kawasan masing-masing dalam sistem SSIPR?
Melalui SSIPR, setiap akses DUN hanya boleh melihat data pemohon di kawasan masing-masing sahaja. Namun, maklumat data pemohon ini tertakluk kepada lima (5) Skim IPR yang memerlukan pengesahan DUN sahaja iaitu:
- Program Jom Shopping Perayaan;
- Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS);
- Pusat Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS);
- Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor (PBSS); dan
- Skim Ceria.
-
Sekiranya ya, sila senaraikan maklumat penduduk DUN Bandar Utama.
Untuk makluman Yang Berhormat Bandar Utama, satu sesi Transfer of Technology (ToT) telah dilaksanakan pada bulan Januari 2021 di antara pihak vendor dan wakil Pejabat DUN, yang mana melalui sesi ToT ini wakil Pejabat DUN telah diberi tunjuk ajar dan penerangan berkenaan penggunaan Pejabat DUN sebagai peranan Pengesah Permohonan bagi 5 Skim IPR yang dinyatakan sebelum ini. Melalui sesi ToT ini juga dimaklumkan sistem ini boleh memaparkan maklumat pemohon di bawah DUN masing-masing. Bagi memudahkan Pejabat DUN, satu Manual Pengguna turut disertakan di dalam SSIPR untuk rujukan lanjut oleh Pejabat DUN.