Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016

101) MAJLIS SUKAN NEGERI SELANGOR

Tahun: 2016

Sesi: 3

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Dato' Haji Amiruddin Bin Setro

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah kejayaan Majlis Sukan Negeri Selangor pada tahun 2016?

    Kontinjen Negeri Selangor berjaya menjadi memperolehi sebanyak 195 pingat keseluruhannya iaitu 59 pingat emas, 73 pingat perak dan 63 pingat gangsa. Dengan pungutan pingat ini, sekaligus membawa kontinjen Selangor menjadi juara keseluruhan kejohanan SUKMA edisi kali ini.

  2. Apakah perancangan pelan jangka masa panjang Majlis Sukan Negeri Selangor?

    Bagi memastikan Negeri Selangor maju dalam sukan dan sekaligus menjadikan Negeri Selangor sebagai negeri peneraju kecemerlangan sukan, pihak Majlis telah mengambil langkah-langkah positif ke arah visi tersebut dengan memperkenalkan struktur pembangunan baru bagi tempoh 2016 – 2020. Model baru struktur pembangunan sukan di Selangor ini telah dibentangkan bagi tempoh 2016 – 2020 dengan memperkenalkan konsep 2i iaitu incorporate iaitu menggabungkan organisasi seperti dengan pihak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Selangor (MSSS), Unit Sukan Prestasi Tinggi Negeri Selangor (USPTNS) di bawah kendalian Majlis Sukan Negara, Persatuan Sukan Negeri (PSN) yang bergabung, Institut Sukan Negara (ISN) cawangan Selangor dan agensi-agensi lain yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung. Manakala intergrate dalam struktur ini adalah berkenaan dengan penyatuan program yang sedia ada dan sedang dijalankan di peringkat agensi masing-masing. Dengan konsep 2i ini, ianya sejajar dengan saranan Y.A.B Menteri Besar untuk menjadikan Negeri Selangor sebagai Smart State dalam pelbagai aspek.

    Majlis Sukan Negeri Selangor juga berusaha untuk membangunkan seberapa banyak sukan di peringkat daerah-daerah dengan menubuhkan pusat latihan di daerah-daerah di Selangor. Di dalam struktur baru ini, ianya melibatkan beberapa agensi dan jabatan lain iaitu pihak Jabatan Pendidikan Negeri, Persatuan Sukan Negeri, Majlis Sukan Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan dan juga pihak Unit Sukan Prestasi Tinggi Negeri dari Majlis Sukan Negara.

    Selain itu juga, bagi memastikan mutu dan pencapaian setiap sukan di Selangor ini dalam keadaan terancang dan baik, pihak Majlis bersama-sama dengan Persatuan Sukan Negeri sentiasa mengadakan perbincangan untuk mengenalpasti kaedah-kaedah yang wajar untuk membangunkan sesuatu sukan tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.