Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

313) MAJLIS PENGURUSAN TINDAKAN BENCANA DAERAH

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Datuk Seri Jamil Bin Salleh

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini berkenaan sistem amaran awal banjir di setiap kawasan hotspot banjir di Negeri Selangor khususnya bagi Daerah Sepang dan Kuala Langat?

    1. Untuk makluman Yang Berhormat, dalam memastikan pelaksanaan skop kerja pemantauan, ramalan dan amaran banjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor mempunyai stesen hidrologi di seluruh Negeri Selangor. Stesen hidrologi utama terdiri daripada Stesen Telemetri (hujan dan aras air), Siren, Internet Protocol (IP) Camera dan Rangkaian Hidrologi National (RHN). Bagi mendapatkan data-data taburan hujan dan aras air, stesen telemetri hujan dan aras air telah dibina di lokasi-lokasi yang strategik di seluruh daerah di Negeri Selangor. Sehingga kini, terdapat 146 stesen telemetri hujan (RF), 82 stesen telemetri aras air (WL), 119 stesen siren dan 72 stesen IP Kamera.

     

    Bagi Daerah Sepang dan Kuala Langat, berikut adalah bilangan stesen yang terdapat di Daerah tersebut seperti berikut:-

    STESEN

    DAERAH SEPANG

    DAERAH KUALA LANGAT
    Telemetri Hujan (RF)

    14

    11

    Telemetri Aras Air (WL)

    7

    5

    Siren

    7

    10

    IP Kamera

    6

    5

    JUMLAH

    34

    31

     

    Stesen tersebut berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk memberi amaran awal kemungkinan berlakunya banjir di kawasan-kawasan berisiko dan hotspot banjir.

  2. Apakah persediaan Majlis Pengurusan Bencana Daerah Kuala Langat & Sepang yang dibuat bagi menghadapi musim tengkujuh dan bencana banjir yang akan berlaku di masa yang akan datang?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kuala Langat telah mengadakan Mesyuarat JPBD pada 18 Oktober 2023 dengan dipengerusikan oleh Pegawai Daerah selaku Pengerusi JPBD Kuala Langat dan dihadiri oleh pelbagai agensi dan jabatan berkaitan bagi melaksanakan persiapan awal bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL). Diantara persediaan dan program yang telah dilaksanakan oleh JPBD Kuala Langat bagi menghadapi MTL dan bencana banjir tahun 2023 adalah seperti berikut :

     

    • Rondaan dari masa ke semasa dibuat oleh agensi seperti Unit Bencana Daerah, PDRM, JBPM, APM, dan Skuad Pantas MPKL ke tempat-tempat yang dikenal pasti sebagai berisiko banjir;

     

    • Pihak JPBD juga telah mejalankan satu latihan latih amal (pengujian bot dan latihan pemandu bot) kesiapsiagaan dalam menghadapi Monson Timur Laut (MTL) pada 12 Oktober 2023 bertempat di Tasik Saujana Putra yang disertai oleh agensi seperti PDTKL, PDRM, LUAS dan Skuad Pantas MPKL;

     

    • Pihak JKM melalui JKBD juga telah mewartakan tempat-tempat yang sesuai untuk dijadikan sebagai Pusat Perpindahan Sementara (PPS) sebagai langkah awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Sebanyak 115 PPS telah pun diwartakan di Daerah Kuala Langat;

     

    • Pihak PDRM dan JBPM melalui JPBD mengambil langkah persediaan dengan mengenal pasti zoning kawasan risiko banjir dan meletakan anggota penyelamat di pos kawalan operasi yang berdekatan dengan kawasan berisiko dimana sebanyak 5 zon yang telah ditetapkan iaitu Zon 1 – Balai Bomba Dan Penyelamat KLIA Sepang, Zon 2 – Dewan Orang Ramai Bukit Changgang, Zon 3 – Balai Polis Telok Panglima Garang, Zon 4 – Dewan Orang Ramai Kg. Kelanang dan Zon 5 – IPD Kuala Langat; dan

     

    • Pihak JPS dan JKR daerah melalui JPBD mengambil langkah persediaan dengan memastikan segala aset-aset dan sistem amaran awal sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan boleh digunakan pada bila-bila masa sewaktu bencana berlaku di daerah Kuala Langat. Stesen-stesen amaran awal yang digunakan iaitu stesen telemetri daerah, stesen siren daerah dan web kamera daerah.

    Manakala Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sepang telah mengadakan Mesyuarat JPBD pada 12 Oktober 2023 dengan dipengerusikan oleh Pegawai Daerah selaku Pengerusi JPBD Sepang telah melaksanakan persediaan dan program bagi menghadapi MTL dan bencana banjir tahun 2023 seperti berikut :

     

     

    1. Program Kesiapsiagaan Latih Amal / Simulasi Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) anjuran Pejabat Kebajikan Masyarakat (JKU) Daerah Sepang Dan Hulu Langat telah dilaksanakan pada 24 Ogos 2023;
    2. Lawatan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Mukim Labu dan Dengkil bagi melihat kerja-kerja baik pulih dan pembinaan tandas tambahan yang telah siap;
    3. Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang Bil. 1/2023 telah dilaksanakan pada 12 Oktober 2023 yang memutuskan persediaan bagi menghadapi MTL dan bencana banjir;
    4. Program Latihan Pengendalian Bot Penyelamat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di Taman Tasik Cyberjaya telah dilaksanakan pada 27 Oktober 2023;
    5. Program Kesiapsiagaan monsun timur laut (MTL) dan Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA) di Taman Tasik Cyberjaya dilaksanakan pada 28 Oktober 2023;
    6. Selain itu, JPBD Sepang juga turut serta dalam aktiviti peredaran dan kesiapsiagaan bencana peringkat Negeri dan persekutuan iaitu Program Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2023 di SMART Pulau Meranti dilaksanakan pada 17 Oktober 2023 dan Sesi Jerayawara bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) peringkat Negeri Selangor 2023.

Lampiran

Tiada Lampiran.