Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

74) MAJLIS PENGURUSAN KOMUNITI KAMPUNG (MPKK)

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini permohonan penambahan MPKK di Kampung Telok Gong?

    Buat masa ini, Kerajaan Negeri berpendapat cadangan pemecahan Kampung Telok Gong, Mukim Klang Daerah Klang ini dan pengwujudan MPKK yang baharu bukanlah satu keperluan mendesak. Selain implikasi kewangan bagi tujuan penubuhan satu (1) buah MPKK berjumlah RM57,800.00 setahun, Kerajaan Negeri juga perlu mengambil kira implikasi kewangan bagi tuntutan keperluan infrastruktur asas sesebuah kampung pada masa hadapan seperti pembinaan dewan masyarakat, balairaya dan lain-lain.

  2. Apakah sistem penilaian yang digunakan untuk menilai prestasi MPKK di Negeri Selangor?

    Prestasi Pengerusi MPKK atau Ketua Kampung Tradisi yang telah dilantik oleh Kerajaan Negeri ini akan dinilai dari semasa ke semasa berdasarkan kriteria dan kaedah tertentu. Untuk permulaan Ketua Kampung Tradisi yang telah dilantik akan melalui tempoh percubaan selama 6 bulan sebelum perkhidmatan mereka dinilai kembali sama ada untuk diteruskan atau sebaliknya.

    Antara kriteria umum yang diambil kira ketika menilai prestasi Ketua Kampung Tradisi adalah seperti berikut:

    1. Tapisan Keselamatan dan Rekod Jenayah iaitu tiada rekod sabitan hukuman sama ada kes jenayah ataupun kes syariah;
    2. Status Kebankrapan;
    3. Mempunyai ahli MPKK yang lengkap;
    4. Mempunyai isu bantahan atau tidak; dan
    5. Mampu menguruskan pentadbiran MPKK dengan baik seperti minit mesyuarat yang lengkap dan laporan kewangan yang teratur.
    6. Perkara-perkara di atas perlu dilaporkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah berkaitan dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Penilaian Peringkat Negeri melalui mesyuarat yang dipengerusikan oleh YB EXCO Pembangunan Desa, Perpaduan dan Pengguna.
    7. Sebagai tambahan, Ketua Kampung Tradisi juga akan dinilai secara tahunan dari semasa ke semasa berdasarkan penilaian empat (4) elemen utama di dalam pentadbiran kampung iaitu:
    8. Pengurusan Mesyuarat (kekerapan dan kualiti);
    9. Pengurusan Kewangan (ketelusan);
    10. Inovasi dan Kreativiti (produk dan anugerah); dan
    11. Aktiviti Kemasyarakatan (sambutan dan penglibatan).

    Melalui 4 elemen tersebut, adalah diharapkan kelemahan yang mungkin berlaku seperti kelemahan pemantauan pentadbiran, konflik pengurusan, kurang komitmen ketika menjalankan tugas dan amanah dan sebagainya dapat diatasi dengan bijaksana dan berhemah.

Lampiran

Tiada Lampiran.