Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012

29) MAJLIS ANTIPEMERDAGANGAN MANUSIA NEGERI SELANGOR (MAPMAS)

Tahun: 2012

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Gan Pei Nei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sejauh manakah keberkesanan kempen anti-pemerdagangan manusia dan sejauh manakah penguatkuasaan dan perlindungan yang boleh dilakukan oleh MAPMAS?

    Majlis Antipemerdagangan Manusia Negeri Selangor (MAPMAS) telah dilancarkan penubuhannya oleh Y.A.B. Dato’ Menteri Besar Selangor pada 10 Januari 2011. Fokus utama MAPMAS ialah dalam usaha-usaha pemberdayaan komuniti dan program-program kesedaran, perlindungan mangsa dan pendakwaan.  Sepanjang tahun 2011 dan suku pertama 2012, MAPMAS telah membina hubungan dengan kesemua dua belas pihak berkuasa tempatan di negeri Selangor, dua pejabat daerah, dua puluh entiti dalam sektor industri dan perkilangan, agensi & jabatan kerajaan Selangor, khususnya pihak penguatkuasa yang disebut oleh Akta Antipemerdagangan Orang 2007 (dengan pindaan 2010) – PDRM, Jabatan Tenaga Kerja dan Imigresen – badan-badan bukan kerajaan, dan kedutaan-kedutaan asing.   Hubungan itu telah mewujudkan satu rangkaian usaha yang asas ke arah membanteras pemerdagangan manusia di negeri Selangor.   Rangkaian hubungan itu telah meletakkan mekanisme asas yang penting untuk mengendalikan kes-kes pemerdagangan manusia di negeri Selangor.

    Di peringkat PBT, Jawatankuasa Teknikal Anti-Pemerdagangan Manusia ditubuhkan bagi melaksanakan program-program kesedaran kepada rakyat, di samping meningkatkan etika dan keberkesanan mengenal pasti elemen-elemen pemerdagangan dalam operasi-operasi PBT dan dalam proses pembaharuan dan pemberian lesen-lesen perniagaan.  Kebanyakan kes-kes kendalian MAPMAS melibatkan pemerdagangan tenaga kerja. Sehingga kini, kes-kes yang telah dan sedang dikendalikan oleh aktivis MAPMAS dengan kerjasama NGO lain ialah sebanyak 80 kes yang melibatkan 513 mangsa – sebahagian besar masalahnya berpunca dari agensi tenaga kerja (outsorcing agencies).   Dalam pemerdagangan seks, aduan kepada MAPMAS oleh seorang mangsa pemerdagangan seks dari sebuah negara  Afrika telah berjaya menyelamatkan seramai 21 wanita warga asing dari negara tersebut. Namun, tiada penjenayah diberkas.   Mangsa wanita-wanita Uganda itu telah dibawa ke Pusat Perlindungan MAPO (Majlis Antipemerdagangan Orang di peringkat nasional) dan kemudian dihantar pulang.   Ada ramai lagi mangsa-mangsa yang serupa yang masih belum diselamatkan.  Ketika ini, aktivis MAPMAS sedang membantu dalam perbicaraan kes pemerdagangan manusia yang melibatkan lima mangsa – kes sedang dibicarakan di Mahkamah Sesyen, Petaling Jaya.  Tiga puluh dua mangsa pemerdagangan tenaga kerja Bangladesh telah  dibebaskan dari pusat perlindungan di Melaka dengan mendapatkan permit kerja di bawah proses 6P. Itu adalah kes pertama seumpamanya di mana mangsa boleh bebas sementara menunggu perbicaraan kes mereka bermula.   Warga Bangladesh tersebut telah berada di pusat perlindungan tersebut selama 18 bulan.  Dari perspektif perlindungan mangsa dan penguatkuasaan Akta Antipemerdagangan Orang, MAPMAS tiada kuasa kecuali bekerjasama rapat dengan pihak-pihak yang telah diberi kuasa di bawah Akta tersebut, iaitu antaranya PDRM, Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Imigresen dalam usaha membanteras pemerdagangan manusia di negeri Selangor.   Pihak-pihak berkuasa di negeri Selangor tersebut adalah jabatan-jabatan kerajaan di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan di bawah penyeliaan Kementerian-kementerian yang relevan yang menjadi anggota MAPO.   Kerajaan Negeri Selangor tidak mempunyai bidang kuasa (jurisdiction) ke atas jabatan-jabatan tersebut.

     

  2. Berapakah bilangan kes dan jenis kes pemerdagangan manusia yang dikendalikan oleh MAPMAS mengikut pecahan PBT sehingga kini?

    Bilangan kes pemerdagangan manusia dan jenisnya

    Pihak Berkuasa Tempatan Bilangan Mangsa

    Pemerdagangan Tenaga Kerja

    Bilangan

    Mangsa

    Pemerdaganga n

    Seks

    Bilangan Mangsa

    Pemerdagangan

    Pembantu Rumah

    Bilangan Mangsa

    Pemerdagangan

    Manusia yang tiada dikenalpasti

    Kes tenaga kerja bukan

    pemerdagangan manusia

    Jumlah Kes & Bilangan Mangsa
    Majlis Bandaraya Shah Alam 1 kes (1 mangsa)   7 kes (7 mangsa) 11 kes (11 mangsa) 3 kes

    (63mangsa)

    22 kes (82 mangsa)
    Majlis Bandaraya Petaling Jaya 5 kes (13 mangsa) 3 kes

    (43 mangsa)

    10 kes (10 mangsa)   1 kes (1mangsa) 19 kes (67 mangsa)
    Majlis Perbandaran Subang Jaya 6 kes (13 mangsa) 1 kes (5 mangsa) 4 kes  (4 mangsa)   4 kes (4 mangsa) 15 kes (26 mangsa)
    Majlis Perbandaran Klang 13 kes (280 mangsa)   3  Kes  (5 mangsa) 1 kes (1 mangsa)   17 kes (286 mangsa)
    Majlis Perbandaran Kajang   1 kes (5 mangsa)       1 kes (5 mangsa)
    Majlis Perbandaran Selayang     3kes (3 mangsa)     3 kes (3 mangsa)
    Majlis Perbandaran Sepang 1 kes (42 mangsa)         1 kes (42 mangsa)
    Majlis Perbandaran Ampang Jaya     1 kes (1 mangsa)     1 kes (1 mangsa)
    Majlis Daerah Kuala Langat            
    Majlis Daerah Sabak Bernam       1 kes (1 mangsa)   1 kes (1 mangsa)
    Majlis Daerah Kuala Selangor            
    Majlis Daerah Hulu Selangor            
    JUMLAH 26 kes (349 mangsa) 5 kes (53 mangsa) 28 kes (30 mangsa) 13 kes (13 mangsa) 8 kes (68 mangsa) 80 kes (513 mangsa)

     

  3. Apakah cabaran-cabaran yang dihadapi oleh MAPMAS dalam usaha membanteras pemerdagangan manusia di Negeri Selangor?

    Pemerdagangan manusia sering dikaitkan dengan insiden korupsi. Gerakan terhadapnya dan usaha-usaha membasminya membawa implikasi memerangi korupsi sekaligus.   Ia juga memberi implikasi penting untuk sesebuah negara seperti Malaysia yang kini dalam kedudukan Tier-2 Watch List, masuk tahun kedua, di mana jika kekal ditangga tersebut, Malaysia akan mengalami sekatan ekonomi ( economic sanction) dari masyarakat antarabangsa.   Kebanyakan pelabur-pelabur asing antarabangsa meletakkan kriteria integriti dan tata kelola baik dalam sesebuah negara sebagai pra-syarat pelaburan di negara luar seperti Malaysia.   Usaha-usaha membasmi pemerdagangan manusia dilihat sebagai usaha serius ke arah mewujudkan kriteria itu dan menatijahkan suasana pelaburan yang baik yang dikehendaki oleh pelabur asing.

    MAPMAS di negeri Selangor mempunyai pelan tindakan yang komprehensif untuk membasmi pemerdagangan manusia dan telah diiktiraf dalam laporan US Trafficking in Persons Report 2011 “…in January 2011, the state of Selangor created its own state level anti-trafficking council staffed with many leaders from the NGO community.”

    Dalam perlaksanaan pelan tindakannya, MAPMAS telah berusaha untuk mewujudkan hubungan dan suatu bentuk kefahaman bersama MAPO dalam menangani isu pemerdagangan manusia di negeri Selangor, yang turut memberi kesan kepada status pemerdagangan manusia di Malaysia.   Sehingga kini, MAPO belum mengiktiraf MAPMAS sebagai majlis dan badan bertindak membanteras pemerdagangan di negeri Selangor.   Justru, merencatkan usahausaha perlindungan mangsa, akses MAPMAS terhadap mangsa dan banyak kes-kes yang disyaki pemerdagangan manusia masih tertunggak atau mengambil masa yang sangat lama untuk diselesaikan atau tidak mendapat keadilan sama sekali.

    Dalam keterbatasan yang ada, mengenal pasti insiden pemerdagangan manusia dan pembanterasannya perlu diteruskan dalam bidang kuasa kerajaan negeri, khususnya di peringkat pihak berkuasa tempatan yang berkuasa menyekat, membatalkan atau tidak memperbaharui lesen-lesen perniagaan yang disyakki terlibat dalam pemerdagangan manusia.  Justeru, peningkatan terhadap keupayaan pegawai dan kakitangan bahagian penguatkuasaan PBT amatlah relevan.

    Melibatkan berbagai usaha antipemerdagangan manusia, khususnya programprogram pemberdayaan komuniti dan pencegahan,  di peringkat kawasan ADUN akan memberi kesan positif mewujudkan mekanisme oversight di mana rakyat boleh menjadi “ mata” dan “ telinga” kerajaan negeri dan melaporkan insideninsiden pemerdagangan manusia. Belum ada program-program antipemerdagangan manusia dilaksanakan di peringkat DUN setakat ini.

    MAPMAS mendapati bahawa banyak perkara perlu diperkemaskan.   Yang paling utama ialah meningkatkan kemahiran dan keupayaan para pegawai dalam bidang penguatkuasaan dan pendakwaan Kemahiran dan keupayaan itu hendaknya yang diiringi oleh nilai etika yang berpandukan hak-hak keinsanan ketika  para pegawai mengendalikan kes-kes pemerdagangan manusia di mana mangsa biasanya berada dalam keadaan yang mudah diperdaya dan dianiaya.

Lampiran

Tiada Lampiran.