Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

67) LRT 3 DAN MOBILITI SELANGOR

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Ong Chun Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah rancangan Kerajaan Negeri dalam memastikan operasi LRT 3 dapat memanfaatkan rakyat Selangor secara optima?

    Kerajaan Negeri menjangkakan pengoperasian LRT3 kelak akan memberi manfaat yang besar kepada rakyat Selangor, di mana perkhidmatan pengangkutan awam berlandaskan rel ini adalah selamat, cekap dan berkesan untuk dimanfaatkan oleh lebih 2 juta penduduk di Koridor Barat Lembah Klang. Pengoperasian LRT3 berpotensi untuk mengurangkan kesesakan lalulintas jalanraya sehingga 12% di kawasan persekitaran laluan operasi serta menjana pertumbuhan pembangunan terutamanya di sekitar stesen LRT3 serta pertumbuhan ekonomi tempatan berikutan akses yang lebih mudah ke kawasan komersial utama. Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berkaitan akan mengambilkira aspek jajaran pengoperasian LRT3 dalam Rancangan Tempatan PBT bagi memastikan pembangunan yang dirancang kelak disesuaikan dengan sistem pengangkutan awam sedia ada dan baharu supaya capaian first mile last mile dapat dipertingkat sekaligus mengoptimakan penggunaan pengangkutan awam termasuk LRT3.

  2. Nyatakan kawasan yang akan disediakan Bas Smart Selangor dan DRT selaras dengan permulaan operasi stesen-stesen LRT 3.

    Pengoperasian LRT3 akan melibatkan kawasan bermula dari Bandar Utama ke Johan Setia dengan jumlah sebanyak 20 stesen dan melibatkan tiga (3) Pihak Berkuasa Tempatan iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Bandaraya Diraja Klang. Beberapa laluan Bas Smart Selangor telah tersedia di sekitar kawasan jajaran LRT3 yang boleh dimanfaatkan oleh penumpang termasuk Laluan PJ01, Laluan PJ02, dan Laluan PJ05, Laluan PJ06 di kawasan Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Laluan BK01, Laluan SA01, Laluan SA04 dan Laluan SA05 di kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam, serta Laluan KLG1, Laluan KLG2A, Laluan KLG2B, Laluan KLG3A, Laluan KLG3B, dan Laluan KLG4 di kawasan Majlis Bandaraya Diraja Klang (perincian seperti di Lampiran).

    Selain daripada itu, pihak pelaksana dan pengoperasi LRT3 juga akan menyediakan perkhidmatan pengangkutan van Rapid On-Demand (seperti DRT Selangor) sebagai penambahan kepada bas-bas pengantara di semua stesen-stesen LRT3 ke kawasan persekitaran untuk membantu capaian first mile last mile yang lebih efisen kepada penumpang kelak.

    Pihak Berkuasa Tempatan juga akan sentiasa mengenalpasti keperluan bagi laluan-laluan baharu bagi perkhidmatan Bas Smart Selangor dan perkhidmatan DRT untuk menambahbaik sistem pengangkutan awam negeri dan menyokong pelaksanaan pengoperasian LRT3 dan lain-lain mod pengangkutan awam bagi meningkatkan capaian first mile last mile.