Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
252) LRA SUNGAI RASAU
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila berikan laporan punca kemalangan tebing runtuh di tapak pembinaan LRA Sungai Rasau.
Berdasarkan laporan awal oleh Perunding yang dilantik oleh Air Selangor, punca runtuhan tebing di tapak pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau adalah berkemungkinan disebabkan oleh kegagalan ‘strut’ (atau penyangga) yang meyebabkan ‘sheet pile’ (atau cerucuk keping) yang menahan tebing telah kehilangan sokongan dan runtuh.
Untuk makluman lanjut, kerja-kerja pembinaan sementara yang dipasang di kawasan kejadian diklasifikasikan sebagai Kelas 2: Kerja-kerja Sementara Utama (‘Major Temporary Works’) mengikut Garis Panduan Lembaga Jurutera Malaysia (BEM): “The Role and Responsibility of Professional Engineers for Temporary Works During Construction Stage” – Klausa 4.2, Kerja Sementara Kelas 2 (Class 2 Temporary Works). Ini bermaksud sekiranya struktur sementara yang dibina mengalami kegagalan, kecacatan, atau kehilangan keberfungsian (fungsi), ia boleh memberi kesan ketara terhadap keselamatan pekerja dan orang awam serta berpotensi mengancam nyawa.
Oleh itu, pihak kontraktor telah melantik Jurutera Profesional untuk Kerja-Kerja Sementara (“Professional Engineer for Temporary Works” (PETW)) bagi mereka bentuk, mengesahkan, dan menyelia Kerja Sementara Kelas 2. Ini bermaksud Perunding adalah pihak yang bertanggungjawab untuk bertindak sebagai pihak yang mengemukakan permohonan kepada pihak berkuasa tempatan atau mana-mana agensi kerajaan lain; dan mereka bentuk Kerja-Kerja Kekal, dalam memastikan pihak kontraktor mematuhi keperluan ini demi menjaga keselamatan dan kepentingan awam.
Selain itu, Air Selangor melalui perunding lantikan sedang meneliti cadangan reka bentuk baharu yang telah dikemukakan oleh pihak kontraktor dengan menambah baik faktor keselamatan (atau “factor of safety”) yang lebih tinggi.
-
Apakah kesan kewangan kepada projek LRA Sungai Rasau akibat kemalangan tersebut?
Air Selangor tidak mengalami impak kewangan secara langsung akibat daripada kemalangan tersebut oleh kerana projek LRA Sungai Rasau ini dilaksanakan secara Reka dan Bina yang mana risiko pembinaan pada fasa ini perlu ditanggung oleh pihak kontraktor.
-
Bagaimana impak kepada garis masa dan tarikh penyiapan asal projek akibat kemalangan tersebut?
Tarikh penyiapan projek Sistem Bekalan Air Rasau diberikan lanjutan masa sehingga Disember 2026. Walau bagaimanapun, lanjutan masa ini bukan disebabkan oleh kejadian tebing runtuh yang berlaku pada September 2024 yang lalu.
Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada lanjutan masa tersebut antaranya kelewatan kelulusan dan permit daripada pihak berkuasa tempatan, laluan jentera berat yang terhad bagi kerja-kerja tanah seluas 3 juta meter padu, (kelewatan mendapat kelulusan geologi kerja penstabilan cerun di Bukit Lipat Kajang, dan lain-lain faktor.
Selain itu, pengoperasian Loji Rawatan Air Sungai Rasau juga bergantung kepada ketersediaan sumber air mentah daripada Projek Kolam Takungan Air Dwi Fungsi yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan. Pihak Jabatan Bekalan Air (JBA) juga telah mengeluarkan tender pada 20 Disember 2024 bagi Projek Kolam Takungan Air Dwi Fungsi tersebut, dengan jangkaan penganugerahan (SST) pada awal September 2025.