Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
71) LRA SUNGAI RASAU
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah kos keseluruhan untuk pembinaan LRA Sungai Rasau?
Projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau pada masa ini masih didalam peringkat tender yang akan ditutup pada bulan September 2021. Pakej-pakej pembinaan dijangka akan dianugerahkan pada akhir tahun 2021 dan awal 2022. Sehubungan itu, kos keseluruhan untuk pembinaan LRA Sungai Rasau masih belum dapat dimuktamadkan.
-
Apakah kos pengambilan tanah bagi LRA Sungai Rasau?
Untuk makluman, pihak Air Selangor bersama Pentadbir Tanah sedang mengenalpasti lot-lot tanah yang terlibat untuk tujuan pengambilalihan tanah yang diperlukan bagi pembangunan LRA Sungai Rasau. Setelah lot-lot tanah berkenaan telah diputuskan untuk diambil alih dan hasil carian tanah (land-search) diperolehi, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta akan melakukan penilaian akhir dan kos pengambilan tanah dapat dimuktamadkan.
-
Apakah kos kesemua LRA yang telah dibina setakat ini?
LRA-LRA sediada adalah merupakan aset-aset yang diserahkan oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk dioperasikan oleh Air Selangor. Pihak Kerajaan Negeri Selangor juga pada tahun 2018 dan 2019 telah menyiapkan dan menyerahkan Loji Rawatan Air Semenyih 2 dengan kos sebanyak RM189 juta serta Loji Rawatan Air Labohan Dagang Fasa 1 dengan kos sebanyak RM587 juta. Manakala LRA Langat 2 dibina oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan diserahkan kepada Air Selangor untuk pengoperasian, di mana Air Selangor perlu membayar “lease rental”.