Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
136) LOT TANAH TERBIAR
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila nyatakan proses untuk Kerajaan Negeri merampas atau mengambil balik lot tanah kediaman terbiar.
Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, di bawah peruntukan Seksyen 116(4)(a) Kanun Tanah Negara (KTN) [Akta 828], istilah “lot tanah kediaman” merujuk kepada tanah hakmilik berstatus kategori ‘Bangunan’ dengan syarat nyata ‘Kediaman’. Seksyen 116(1)(a) KTN pula memperuntukkan bahawa, melainkan telah wujud suatu bangunan di atas tapak, tanah hakmilik kategori ‘Bangunan’ hendaklah didirikan bangunan yang bersesuaian dengan syarat nyata tanah dalam tempoh dua (2) tahun daripada tarikh ia diberimilik. Sehubungan dengan ini, pemilik tanah berdaftar hendaklah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas tanahnya, termasuklah:
- membayar cukai tanah seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 93 KTN; dan
- memastikan penggunaan tanah adalah selaras dengan kategori, syarat nyata, syarat tetap dan tidak melanggar apa-apa sekatan.
Pada masa yang sama, perampasan sebarang tanah hakmilik oleh Kerajaan Negeri atau Pihak Berkuasa Negeri (PBN) boleh dilaksanakan melalui proses pelucuthakan tanah di bawah Seksyen 130 KTN yang disebabkan oleh mana-mana faktor berikut sahaja:
- Pertama, pelucuthakan akibat ketiadaan bayaran jumlah wang yang dituntut di bawah Seksyen 100 KTN kerana kegagalan membayar sewa / cukai tanah (dan tunggakannya) di bawah Seksyen 97 KTN.
Bagi kesalahan sebegini, Pentadbir Tanah Daerah (PTD) boleh mengemukakan Notis Tuntutan melalui serahan Borang 6A kepada pemilik tanah, dan jika kesemua jumlah yang dituntut gagal dibayar kepada PTD dalam tempoh tiga (3) bulan, seperti yang ditentukan dalam notis, maka PTD boleh mengisytiharkan tanah telah dilucuthakkan kepada PBN di bawah Seksyen 100 KTN. Maklumat lanjut mengenai tatacara kerja yang berkaitan boleh dirujuk kepada Pekeliling Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (KPTG) Bilangan 7/1977.
- Kedua, pelucuthakan akibat kesalahan pelanggaran kategori dan/atau syarat nyata penggunaan tanah di bawah Seksyen 125 dan/atau 126 KTN. Bagi kes-kes langgar syarat sebegini, tindakan penguatkuasaan boleh dikenakan di bawah Seksyen 127 hingga 129 KTN oleh Pentadbir Tanah Daerah (PTD), yang boleh membawa kepada perampasan dan pelucuthakan tanah hakmilik tersebut di bawah Seksyen 130 KTN kepada pihak Kerajaan Negeri, jika sabit kesalahan, tanpa usaha untuk meremedi atau menukar syarat nyata tanah.
Secara ringkasnya, apabila berlaku sesuatu pelanggaran syarat tanah, PTD boleh mengambil salah satu tindakan iaitu sama ada terus merampas tanah tersebut di bawah Seksyen 129 KTN (melalui Notis Borang 7B dan Notis Borang 8A), atau memberi peluang kepada pemilik berdaftar tanah untuk meremedi / memulihkan tanah di bawah Seksyen 128 KTN (melalui Notis Borang 7A), atau mengenakan denda terhadap pemilik tanah terlebih dahulu di bawah subseksyen 127(1A) KTN (melalui Notis Borang 7E dan Notis Borang 7F). Butiran lebih terperinci mengenai tatacara kerja yang berkaitan boleh dirujuk kepada Pekeliling KPTG Bilangan 5/1985 (Disemak 2007) dan Arahan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) Bilangan 2/2021.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, dalam kedua-dua situasi yang telah dinyatakan, tanah hakmilik yang telah dirampas atau dilucuthakkan di bawah Seksyen 130 KTN akan diwartakan menjadi tanah Kerajaan yang tertakluk kepada peruntukan Seksyen 131 akta yang sama.