Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
353) LOT LIDI DI SELANGOR
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Puan Nurul Syazwani Binti Noh
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapakah jumlah kes penjualan lot lidi yang telah dikenal pasti di Selangor sejak Januari 2019 sehingga Jun 2024 kebelakangan ini? Sila senaraikan data ini mengikut daerah.
Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah mengiktiraf penjualan dan pemilikan tanah lot lidi di negeri Selangor. Ini adalah kerana penjualan tanah lot lidi jelas melanggar syarat nyata tanah itu sendiri di mana tanah-tanah lot lidi yang dijual adalah bersyarat nyata “Pertanian” yang tidak dipohon ditukar syarat atau pecah sempadan di Pejabat Tanah dan Daerah. Bagi membendung aktiviti penjualan lot lidi ini secara berleluasa tanpa mengikut syarat-syarat pembangunan dan pendaftaran hakmilik yang dibenarkan di mana akan memberi kesan langsung kepada pembeli, Mesyuarat Penyelarasan Pentadbiran Tanah/Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor (MPPTDPBTNS) Bil. 1/2018 pada 16 Julai 2018 dan Mesyuarat Pengarah Tanah Dan Galian Selangor Bersama Pentadbir-Pentadbir Tanah Daerah Negeri Selangor Bilangan 3 Tahun 2018 pada 29 Ogos 2018 telah bersetuju untuk menolak semua permohonan Pendaftaran Surat Ikatan Amanah atas semua sebab bagi kesemua lot-lot kecil tanah pertanian di negeri Selangor. Oleh yang demikian, tiada data yang boleh diberikan.
-
Berapakah jumlah permohonan pemecahan lot yang diterima oleh Pejabat Tanah dan Galian yang berkaitan bagi pembeli lot lidi dalam tempoh yang sama? Berapa banyak daripada permohonan ini telah diluluskan dan berapa yang masih dalam proses?
Untuk makluman Yang Berhormat, tiada permohonan pecah sempadan tanah di bawah Seksyen 137 Kanun Tanah Negara diterima oleh Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor yang berkaitan dengan pembangunan lot lidi. Pembangunan lot lidi di atas tanah pertanian adalah tidak selaras dengan syarat nyata tanah.
-
Apakah peratusan permohonan pemecahan geran lot lidi yang ditolak? Apakah alasan utama yang menyebabkan penolakan permohonan ini dan apakah solusi kepada penjual yang terlibat?
Tiada. Permohonan pecah sempadan bagi tanah pertanian untuk pembangunan lot lidi adalah tidak dibenarkan. Pemilik tanah perlu mengemukakan permohonan Kebenaran Merancang ke Pihak Berkuasa Tempatan terlebih dahulu sebelum urusan tanah untuk tujuan pecah sempadan boleh dipertimbangkan oleh Pihak Berkuasa Negeri selanjutnya.