Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

22) LORI HARAM DAN AKTIVITI PENJUALAN TANAH MERAH

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan Kerajaan Negeri untuk menguatkuasakan undang-undang terhadap lori-lori haram yang mengangkut tanah atau pasir serta menyebabkan kerosakan ke atas jalan raya?

    Tindakan Kerajaan Negeri bagi menguatkuasakan undang-undang terhadap lori- lori haram yang mengangkut tanah atau pasir tanpa kebenaran adalah dengan merujuk kepada Seksyen 426 (1) Kanun Tanah Negara (KTN) yang memperuntukkan tindakan denda jika disabitkan kesalahan seperti mencabut, memindah, mengangkut, membenarkan pencabutan, pemindahan atau pengangkutan bahan batuan dari mana-mana tanah tanpa kebenaran yang sah iaitu suatu denda yang tidak melebihi lima ratus ribu ringgit (RM500,00.00) atau dipenjarakan untuk suatu tempoh yang tidak melebihi lima (5) tahun atau kedua- duanya sekali.

    Mana-mana orang yang disabitkan dengan suatu kesalahan di bawah seksyen ini, bolehlah diperintah supaya membayar kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN), disamping apa-apa denda yang dikenakan apabila disabitkan, pampasan yang sama nilainya dengan bahan batuan yang dipersoalkan, dan nilai apa-apa kayuan yang dipotong atau dimusnahkan dalam menjalankan pencabutannya.

  2. Apakah langkah Kerajaan bagi mengawal aktiviti memotong bukit bagi tujuan penjualan tanah merah secara haram?

    Kesemua Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) melalui Unit Penguatkuasaan bertugas untuk menguatkuasakan dan mengawal aktiviti memotong bukit bagi tujuan penjualan tanah merah secara haram. Unit Penguatkuasaan setiap PDT akan memantau Tanah Kerajaan dan juga Tanah Hakmilik yang mempunyai kawasan tanah yang bercirikan tanah merah samada kawasan berbukit ataupun tidak.

    Tindakan pengawalan dan pemantauan yang dijalankan merupakan tindakan prosedur yang dijalankan secara berkala dan juga sekiranya mendapat aduan terus daripada orang awam samada melalui panggilan telefon, e-mel, media massa dan yang seumpama dengannya.

    Tindakan rampasan yang diperuntukkan di bawah Seksyen 426 (1)(b) terhadap jentera yang melakukan aktiviti pencabutan sebarang bahan batuan termasuklah tanah merah akan dikuatkuasakan sekiranya dijumpai terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.

    Ini jelas dengan penerangan di bawah peruntukan seksyen ini akan tindakan yang boleh dikenakan terhadap sebarang aktiviti pengalihan bahan batuan yang dijumpai diangkut secara tidak sah namun berada di bawah atau di luar kawalan pemilik tanah tersebut. Sebarang tindakan pengangkutan atau pencabutan bahan batuan yang tidak sah akan dianggap telah berlaku walaupun pemilik tanah menyatakan bahawa tidak menyedari akan aktiviti haram yang berlaku di atas tanah milik mereka.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.