Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015
41) LONGKANG DAN PARIT
Tahun: 2015
Sesi: 1
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Dato' Haji Amiruddin Bin Setro
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah tindakan kerajaan negeri bagi memastikan setiap longkang dan parit tidak tersumbat dan berfungsi dengan baik?
Bagi memastikan setiap longkang dan parit tidak tersumbat dan berfungsi dengan baik, Kerajaan Negeri sentiasa melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan seperti berikut :
i) Kerja-kerja penebasan dan pembersihan parit oleh Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) yang dilantik oleh Kerajaan Negeri sebanyak 3 pusingan setahun dengan merujuk kepada jadual tebasan yang telah ditetapkan oleh pihak JPS Selangor seperti berikut :
- Pusingan 1 – Bulan Februari hingga Mac
- Pusingan 2 – Bulan Jun hingga Julai
- Pusingan 3 – Bulan Oktober hingga November
Purata panjang parit yang terlibat anggaran 21.7km bagi setiap pusingan kerja tebasan merangkumi 13 buah kampung dalam Mukim Jeram dengan anggaran perbelanjaan setiap pusingan adalah sebanyak RM150,000.00.
ii) Kerja-kerja penyelenggaraan dan pembangunan sistem saliran yang dilaksanakan oleh pihak kontraktor yang dilantik secara perolehan sebutharga. Kerja-kerja penyelenggaraan melibatkan menggali dan mendalamkan parit serta borrowpit, menaiktaraf pembetung, membina jambatan jenis Medium Traffic Bridge (MTB) serta Light Traffic Bridge (LTB) dan sebagainya. Justeru pada tahun ini sejumlah RM250,000.00 telah diterima di bawah Kerajaan Negeri bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan parit di dalam kawasan saliran Mukim Jeram telah diperuntukkan.
iii) Memandangkan Daerah Kuala Selangor terletak berhampiran dengan laut, fenomena air pasang surut turut terkesan kepada kawasan saliran. Oleh demikian, peranan dan operasi Pintu Kawalan Pasang Surut sebanyak 8 buah yang terdapat di kawasan Mukim Jeram sentiasa dipantau dan diselenggara dengan baik oleh jabatan.
-
Berapakah peruntukan yang disediakan oleh kerajaan negeri bagi membaikpulih longkang dan parit di Selangor pada tahun 2015?
Peruntukan sebanyak RM1.5 juta telah disediakan oleh Kerajaan Negeri bagi membaikpulih longkang dan parit di dalam Negeri Selangor pada tahun 2015.