Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
364) LOJI WASTE TO ENERGY (WTE)
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Dr. Afif Bin Bahardin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah jumlah sampah dihasilkan rakyat Selangor sehari? Senaraikan dari 2018 hingga kini.
Purata sampah yang dihasilkan rakyat Selangor sehari dari tahun 2018 sehingga 2023 adalah seperti berikut:
-
Berapakah kos dan apakah pembinaan dua buah projek mega Waste to Energy, satu milik Worldwide dan satu milik KDEB perlu?
Terdapat dua (2) buah fasiliti Waste-to-Energy (WtE) yang sedang dibina di Jeram dan dua (2) buah fasiliti WtE yang bakal dibina iaitu sebuah (1) di Tanjung Duabelas dan sebuah (1) lagi di Batu Arang. WtE di Jeram kini masing-masing telah mencapai 20% dan 25% kemajuan projek manakala WtE di Tanjung Duabelas dan Batu Arang masih belum dibina.
Kos pembinaan WtE di Jeram tidak dapat dimaklumkan di dalam Dewan yang mulia ini pada hari ini kerana pihak pemaju bagi projek pembinaan WtE di Tanjung Duabelas masih dalam proses tender.
Untuk makluman YB AMMKN, kos pembinaan projek WtE di Jeram dan Tanjung Duabelas ditanggung sepenuhnya oleh pemaju melalui kaedah pembiayaan projek (Project Financing) tanpa peruntukan dari Kerajaan Negeri
Bagi kos pembinaan loji WtE oleh KDEB Waste Management Berhad di Batu Arang, Rawang, ia masih dalam penilaian Impak Alam Sekitar (EIA). Setelah EIA selesai barulah proses Engineering, Procurement, Construction and Commissioning (EPCC) akan dimulakan.
Justeru, maklumat berkenaan kos pembinaan tidak dapat dikongsikan bersama YB AMMKN pada ketika ini.
-
Adakah model bisnes ini lestari dan mampu dilaksana?
Pembangunan WtE adalah wajar sebagai salah satu langkah untuk mengurangkan penghantaran sisa ke tapak pelupusan (Landfill). Saban tahun Kerajaan Negeri perlu mengeluarkan kos yang tinggi untuk pengambilan tanah bagi tujuan tapak pelupusan sampah, kos penyelenggaraan tapak pelupusan sampah dan kos penutupan selamat tapak-tapak pelupusan sampah yang telah penuh atau tidak lagi selamat untuk digunakan.
Pada tahun 2024, Kerajaan Negeri telah menerima permohonan pengambilan tanah untuk tujuan pelupusan tanah seluas 200 ekar di Kuala Langat dan 67.92 ekar di Gombak. Tanah-tanah ini diperlukan untuk menampung keperluan tapak pelupusan sampah apabila terdapat tapak sampah yang perlu ditutup kerana telah penuh walaupun baru beberapa tahun digunakan.
Ketika ini terdapat 10 tapak pelupusan sampah iaitu di Panchang Bedena (25 ekar), Kubang Badak (33 ekar), Jeram (460 ekar), Kuang (27 ekar), Sungai Sabai (64 ekar), Tanjung Duabelas (230 ekar), Sungai Tua (20 ekar), Dengkil (145 ekar), Sungai Kembung (86 ekar), Ampar Tenang (65.5 ekar) dan Seri Kembangan Puchong (100 ekar). Jumlah keseluruhan tapak pelupusan sampah di Selangor adalah 1,255.5 ekar. Manakala keluasan WtE iaitu pembangunan yang sedang berjalan di Jeram dan Tanjung Duabelas hanya 60 ekar.
Dengan mengambil kira kos yang perlu ditanggung oleh Kerajaan Negeri dalam mengoperasikan tapak pelupusan sampah, kerja-kerja penutupan selamat setelah tapak pelupusan sampah penuh, kos untuk membuka tapak pelupusan sampah baharu, serta kesannya ke atas alam sekitar, penggunaan loji WtE adalah pilihan yang lebih baik dan mesra alam sekitar serta lebih menguntungkan untuk jangka masa panjang.
KDEB Waste Management Sdn Bhd dan Worldwide Holdings Berhad juga menggunakan model Perkongsian Awam-Swasta untuk pembinaan loji WtE masing-masing. Model ini menawarkan kestabilan kewangan dan keberkesanan operasi tanpa melibatkan dana Kerajaan Negeri. Pembiayaan projek adalah daripada peruntukan syarikat masing-masing dengan balasan penghantaran sampah daripada PBT-PBT Selangor ke WtE yang telah dibina nanti dengan satu jumlah tipping fee yang telah dipersetujui oleh pihak-pihak yang terlibat.