Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

88) LOJI PEMPROSESAN PADI BENIH SUNGAI BURONG

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan apakah peranan dan kegunaan loji pemprosesan padi benih Sungai Burong ?

    Loji Pemprosesan Benih Padi Sungai Burong adalah milik Jabatan Pertanian Persekutuan dan berperanan mengeluar dan membekal benih padi sah bagi tujuan penanaman untuk petani-petani di Barat Laut Selangor dan negeri-negeri lain.

  2. Sila huraikan kronologi pembinaan Loji tersebut dan berapakah jumlah padi benih yang dapat diproses oleh loji tersebut sejak 5 tahun yang lepas ?

    Loji Pemprosesan Benih Padi Sungai Burong siap dibina pada tahun 1998. Loji tersebut dibina di bawah program pembangunan Jabatan Pertanian Persekutuan. Operasi pengeluaran benih padi sah bermula pada musim 1/1998. Loji tersebut di bawah kelolaan Jabatan Pertanian Persekutuan dari tahun 1998 sehingga Mac 2010. Loji tersebut diserah kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) pada 11 Mac 2010 selaras dengan keputusan Mesyuarat Dasar Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Bil4/2007 bertarikh 31 Disember 2007 dan kelulusan daripada Kementerian Kewangan melalui surat bil. KK/BKP18/664/20Jld.5(sk21)(3) bertarikh 26 Januari 2010. Ekoran daripada keputusan dasar tersebut Jabatan Pertanian Persekutuan dikehendaki melepaskan fungsi program pengeluaran benih padi sah secara berperingkat mulai tahun 2007. Program pengeluaran benih padi seterusnya diterajui olej pihak swasta dan Jabatan Pertanian Persekutuan bertindak sebagai agensi memperakukan kualiti benih padi sah.

  3. Sila nyatakan sejauh manakah perbezaan kualiti padi benih yang diproseskan oleh Loji ini dengan kualiti yang diproses oleh syarikat swasta ?

    Prestasi pengeluaran benih padi sah dari Loji Pemprosesan Benih Padi Sungai Burong sepanjang lima (5) tahun yang lepas adalah seperti berikut :

    Bil. Tahun Pengeluaran (Tan) Catatan
    1. 2006 8,813 Dikendalikan oleh Jabatan Pertanian Persekutuan
    2. 2007 8,365 Dikendalikan oleh Jabatan Pertanian Persekutuan
    3. 2008 8,064 Dikendalikan oleh Jabatan Pertanian Persekutuan
    4. 2009 4,022 Operasi pengeluaran sehingga Jun 2009
    5. 2010 Loji diserahkan kepada MADA

    Syarikat-syarikat swasta yang mengeluarkan benih padi adalah syarikat yang dilantik oleh pihak kerajaan persekutuan. Syarikat-syarikat tersebut dikehendaki mengikuti segala prosedur yang ditetapkan di bawah Skim Pengesahan Benih Padi Jabatan Pertanian Malaysia. Benih padi yang dikeluarkan hendaklah mematuhi piawaian yang ditetapkan di dalam Standard Jabatan Pertanian Malaysia.

    Setelah segala prosedur dan piawaian di dalam aliran pengeluaran benih padi sah dipatuhi, perakuan kualiti benih akan dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia pada benih padi tersebut. Pada dasarnya tiada perbezaan kualiti benih padi yang diproses di loji ini dan yang dikeluarkan oleh syarikat swasta dilantik oleh kerajaan persekutuan kerana pengeluaran benih padi sah melalui satu sistem perakuan kualiti yang sama.

Lampiran

Tiada Lampiran.