Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

166) LOJI HIDROKUASA KECIL BATANG KALI

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Puan Mariam Binti Abdul Rashid

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah yang diambil agar Loji Hidrokuasa Kecil Batang Kali mematuhi standard alam sekitar dan tiada kesan negatif kepada ekosistem?

    Loji Hidrokuasa Kecil Batang Kali telah dibangunkan dengan mematuhi semua garis panduan dan peraturan alam sekitar yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan. Langkah-langkah utama yang diambil termasuk:

    1. Kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) – Kajian terperinci telah dilakukan untuk memastikan pembangunan loji tidak memberikan kesan negatif kepada ekosistem setempat.
    2. Pengurusan Air Secara Mampan – Loji tersebut menggunakan sistem aliran larian sungai (run-of-river) yang tidak memerlukan pembinaan empangan besar, sekali gus mengurangkan impak kepada habitat akuatik dan hidupan liar.
    3. Pemantauan Berterusan & Pensampelan Air Berkala
      • Pensampelan air secara berkala dilakukan untuk memantau kualiti air dan memastikan tiada pencemaran berlaku.
      • Pemantauan menggunakan dron dijalankan bagi memastikan tiada aktiviti yang boleh menjejaskan ekosistem sungai.
      • Laporan berkala dihantar kepada pihak penguatkuasa tempatan seperti Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bagi melaporkan pemantauan pencemaran air dan pematuhan terhadap peraturan alam sekitar.
    4. Penyelenggaraan Peralatan & Kawalan Pencemaran
      • Pembersihan berkala trash rack (penapis sampah) dilakukan bagi memastikan aliran air tidak terhalang dan mengelakkan sisa pepejal daripada memasuki sistem loji.
      • Penyelenggaraan peralatan operasi seperti turbin dan sistem hidraulik dilaksanakan bagi mengelakkan kebocoran minyak atau bahan pencemar lain ke dalam air sungai.
    5. Langkah Mitigasi Hakisan dan Sedimentasi – Kawalan hakisan seperti penanaman semula tumbuhan di kawasan terjejas dan sistem kawalan sedimentasi dilakukan untuk mengelakkan pencemaran air.
    6. Pemulihan Kawasan Selepas Pembinaan – Sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap kelestarian, kerja pemulihan dijalankan bagi memastikan kawasan projek kembali kepada keadaan asal sebaik sahaja pembinaan selesai.
  2. Bagaimana loji dapat menyumbang kepada sasaran tenaga boleh diperbaharui Selangor?

    Loji Hidrokuasa Kecil Batang Kali memainkan peranan penting dalam mencapai sasaran tenaga boleh diperbaharui Selangor melalui:

    1. Meningkatkan Kapasiti Tenaga Boleh Diperbaharui – Dengan kapasiti penjanaan sebanyak 5.1 MW, loji tersebut akan menyumbang kepada peningkatan kapasiti tenaga boleh diperbaharui dalam grid elektrik Selangor.
    2. Pengurangan Pelepasan Karbon (CO) – Loji tersebut mampu mengurangkan sehingga 16,500 tan pelepasan karbon dioksida (CO₂) setiap tahun, sekaligus membantu untuk mencapai sasaran neutral karbon Selangor menjelang 2050.
    3. Bekalan Tenaga yang Stabil – Hidrokuasa kecil memberikan bekalan tenaga yang lebih stabil berbanding sumber tenaga boleh diperbaharui lain seperti solar dan angin, menjadikannya sumber tenaga yang berdaya tahan dan boleh diyakini.
    4. Sokongan kepada Dasar Tenaga Negeri – Projek ini sejajar dengan inisiatif tenaga hijau Selangor dan menyumbang kepada sasaran nasional 40% tenaga boleh diperbaharui menjelang 2035.
    5. Potensi Kredit Karbon – Projek ini membolehkan potensi penyertaan dalam pasaran kredit karbon yang seterusnya menggalakkan lebih banyak pelaburan dalam tenaga hijau di Selangor.
  3. Apakah perancangan untuk melaksanakan model loji hidrokuasa di tempat lain?

    Kerajaan negeri Selangor dan pihak berkepentingan sedang meneliti potensi untuk melaksanakan lebih banyak loji hidrokuasa kecil di lokasi lain bagi memperluaskan penggunaan tenaga boleh diperbaharui. Perancangan ini termasuk:

    1. Inisiatif oleh WHB dalam Pembangunan Hidrokuasa – WHB, sebagai badan pelaksana utama pembangunan tenaga boleh baharu di Selangor, telah mengenal pasti beberapa sungai yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai loji hidro kecil termasuk SHP Kerling Lower, SHP Bernam Scheme, SHP Sg. Inki, dan SHP Sg. Bernam.
    2. Penggunaan Model Run-of-River – Model ini akan diteruskan kerana ia lebih lestari dan mempunyai kesan alam sekitar yang lebih rendah berbanding empangan konvensional.
    3. Pendidikan & Kesedaran Awam – WHB akan mendepankan loji hidro yang telah beroperasi, iaitu 2.0 MW SHP Kerling Upper dan 5.1 MW SHP Batang Kali, untuk meningkatkan kesedaran dan mendidik masyarakat serta pihak berkuasa mengenai kelebihan tenaga hidro kecil dalam mencapai sasaran tenaga boleh baharu negeri.
    4. Kerjasama dengan Sektor Swasta – Pelaksanaan projek hidro baharu akan melibatkan kerjasama dengan syarikat tenaga dan pelabur swasta melalui inisiatif pembiayaan hijau dan insentif kerajaan.
    5. Integrasi dengan Teknologi Hijau – Loji hidro kecil akan dikaji untuk digabungkan dengan teknologi penyimpanan tenaga dan hidrogen hijau bagi meningkatkan kecekapan sistem tenaga boleh diperbaharui.
    6. Pengukuhan Dasar & Sokongan Kerajaan – Negeri Selangor akan terus menyokong pembangunan tenaga boleh diperbaharui melalui insentif dasar dan kelulusan yang lebih cekap bagi projek hidro baharu.

    Dengan pelaksanaan strategi ini, Negeri Selangor berpotensi menjadi negeri peneraju dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia serta mencapai sasaran tenaga bersih yang mampan.

Lampiran

Tiada Lampiran.