Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

90) LITAR SUKAN PERMOTORAN

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Dato' Mohd Imran Bin Tamrin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini perancangan pembinaan litar permotoran di Gombak?

    Untuk makluman Ahli Dewan Negeri, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah Gombak telah mengemukakan surat bertarikh 14 Januari 2019 bagi mencadangkan kawasan seluas 161,874mp atau 40 ekar di Sungai Tua, Gombak, Mukim Batu untuk diwartakan sebagai kemudahan sukan.

     

    Ini bertujuan bagi membangunkan Kompleks Litar Lumba dengan melantik Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor sebagai Pegawai Pengawal dan Majlis Sukan Negeri Selangor sebagai Pegawai Penyelenggara.

     

    Sejajar dengan cadangan itu, pihak Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) telah menjalankan kajian kemungkinan terhadap kawasan yang dicadangkan untuk memastikan tapak adalah bersesuaian bagi projek Pembangunan Kompleks Litar Lumba tersebut.

     

    Dengan lantikan kepada Dr. Nik Associates Sdn. Bhd. sebagai perunding yang akan menjalankan kerja-kerja kajian kemungkinan bagi projek litar lumba Sungai Tua, berikut adalah antara kesimpulan hasil laporan akhir kajian yang dikemukakan pada 17 Ogos 2020:

    i. Berdasarkan luas kawasan 40 ekar, anggaran panjang maksimum litar lumba yang dapat dihasilkan adalah 2.25 kilometer. Ianya tidak dapat digunakan bagi drag racing (400m Straight Line Race) kerana jarak litar lurus yang dapat dihasilkan hanya sejauh 340-meter jika dibandingkan dengan panjang minimum termasuk keselamatan yang diluluskan adalah 600 meter.

    ii. Selain itu terdapat aliran sungai pada kawasan kajian dan air sungai tersebut berakhir di Empangan Batu, Sungai Tua. Jika kerja-kerja dijalankan seperti kerja tanah (earthwork) dan berlaku hujan, ia akan memberi kesan kepada air sungai serta menjejaskan kebersihan empangan tersebut. Perkara ini akan menyebabkan bekalan air terganggu kesan daripada pencemaran.

    iii. Kawasan tersebut juga termasuk di dalam Aspek Environmental Sensitivity Area (ESA). Berikut adalah ciri-ciri teratas ESA di kawasan tersebut:

    ESA Rank 1 – Terdapat kawasan tadahan air iaitu Empangan Batu –  Protected area (Hutan Simpan)

    ESA Rank 2  – Terdapat aliran Sungai Batu dan  anak sungai

    ESA Rank 3  – Kawasan cerun (150m-300m contour)

    iv. Menurut Management Criteria bagi ESA Rank 1 menjelaskan bahawa tiada pembangunan atau pembalakan yang dibenarkan kecuali kerja pembangunan yang memberi kesan sedikit pada alam semulajadi seperti eko-pelancongan, pusat kajian serta pendidikan alam.

     

    Kesimpulan dari kajian yang dijalankan oleh Dr. Nik & Associates Sdn Bhd, pihak perunding mencadangkan agar pembangunan bagi projek litar lumba tersebut tidak dijalankan di kawasan Sungai Tua, Gombak kerana ia telah melibatkan Environmental Sensitivity Area Rank 1 di samping melibatkan kos yang tinggi.

    Pihak MSNS telah membawa hasil kajian kemungkinan bagi projek litar lumba Sungai Tua, Gombak ini ke dalam Majlis Mesyuarat Kerjaan Negeri (MMKN) yang diadakan pada 30 September 2020 yang lepas.

    Justeru itu, keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor MMK. No. 37/ 34 / 2020 yang disahkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke 35 / 2020 pada 7 Oktober 2020 bagi projek litar lumba Sungai Tua, Mukim Batu Daerah Gombak adalah seperti berikut:

    1. Bersetuju agar pembangunan projek litar lumba ini tidak dijalankan di Plot 1, Sungai Tua, Mukim Batu Daerah Gombak.
    2. Bersetuju agar tapak pembangunan Kompleks Litar Lumba yang baharu dapat dikenal pasti supaya usaha meningkatkan kemudahan fasiliti bagi sukan pemotoran ini dapat diteruskan.

    Melalui keputusan MMKN tersebut, pihak MSNS telah mengemukakan surat permohonan kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor bagi membantu dalam mengenalpasti lokasi baharu tapak cadangan pembinaan Kompleks Litar Lumba ini.

    Sejajar dengan keputusan MMKN serta permohonan tersebut, Kerajaan Negeri melalui PTG Selangor telah mengenalpasti beberapa cadangan lokasi tapak antaranya adalah di kawasan Jalan Panglima Besar Sungai Gumut, Kampung Pasir Putih Kalumpang dan area Lembah Beringin.

    Justeru, kini siasatan sedang dijalankan bagi mengenalpasti tapak yang lebih bersesuaian agar usaha dalam merealisasikan pembangunan Kompleks Litar Lumba ini dapat merangkumi segala aspek kejuruteraan, ekonomi, kesan alam sekeliling serta jaminan penggunaan optima pada masa hadapan.

  2. Adakah kerajaan boleh memberi kebenaran untuk membangunkan litar permotoran persendirian di daerah-daerah atau PBT?

    Litar permotoran persendirian merupakan salah satu aktiviti yang dibenarkan di dalam zon gunatanah utama –Tanah lapang dan rekreasi. Kelas kegunaan tanah yang dibenarkan ialah di bawah Rekreasi Komersial, walau bagaimanapun tertakluk kepada kesesuaian lokasi dan pembangunan sekitar merujuk kepada Rancangan Tempatan PBT masing-masing. Permohonan hendaklah mendapatkan kelulusan Kebenaran Merancang (KM) terlebih dahulu bagi urusan perihal tanah, penyelarasan aspek kacau ganggu dan bantahan penduduk, kajian impak sosial dan alam sekitar serta lain-lain pematuhan syarat- syarat teknikal.

Lampiran

Tiada Lampiran.