Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
368) LIPUTAN TELCO DAN 5G
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Sains, Teknologi & ICT
Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah peratusan kawasan liputan 5G di Selangor?
Sehingga 30 September 2023 peratusan liputan 5G bagi kawasan berpenduduk di negeri Selangor adalah 3%. Manakala sasaran liputan 5G kawasan berpenduduk ialah 96.3% menjelang penghujung tahun 2023 berbanding sasaran seluruh negara iaitu 80% sehingga akhir tahun ini. Selangor merupakan negeri yang menerima peruntukan paling tinggi di dalam negara sebanyak 1878 iaitu 25% daripada sejumlah 7509 tapak keseluruhan. Untuk makluman, sebanyak 1455 tapak telah siap diintegrasi untuk menerima pemancar 5G di Selangor sehingga September 2023. Di Rawang sahaja, sebanyak 35 lokasi tapak telah pun beroperasi untuk isyarat 5G manakala baki sebanyak 7 unit lagi didalam peringkat pelaksanaan.
Kerajaan Negeri Selangor melalui SMARTSEL Sdn Bhd dan Koridor Utiliti Selangor (KUSEL) selaku pelaksana dan pemudah cara dalam membangunkan infrastruktur digital di Selangor akan mendapatkan maklumat lanjut dari masa ke semasa dari Digital Nasional Berhad (DNB) bagi memantau baki tapak sebanyak 423 untuk diintegrasi sepenuhnya kepada liputan 5G dan memastikan 100% liputan 5G di kawasan berpenduduk dapat dicapai menjelang akhir tahun 2025.
-
Bagaimana Kerajaan Negeri membantu kawasan yang tidak mempunyai liputan telco?
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia telah membuka perkhidmatan aduan kepada rakyat yang ingin melaporkan sebarang isu atau permasalahan tentang telco termasuklah isu tiada liputan di kawasan tertentu. Oleh itu, sebarang aduan berkenaan masalah berkaitan TELCO, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah mengumpulkan data-data aduan tersebut yang dilaporkan oleh rakyat melalui pusat aduan di talian 1 800 188 030 atau menerusi e-mel kepada aduanskmm@mcmc.gov.my atau dengan mengisi borang aduan di portal aduan.skmm.gov.my.
Aduan-aduan ini akan dapat memberikan maklumat dan informasi lokasi dan kawasan yang tidak mempunyai liputan telco. Melalui data dan informasi ini juga, pelan rancangan kerajaan ke arah 100% liputan 5G di kawasan berpenduduk bagi seluruh negeri Selangor dapat dirancang dan dibangunkan.
Kerajaan negeri juga melalui kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), akan mengguna pakai satu sistem Communication Infrastructure Permit Management (CIPM) bagi merekodkan dan mengkoordinatkan menara-menara dan infrastruktur-infrastruktur telco bagi memastikan tiada kawasan berpenduduk yang tidak mendapat liputan 5G. Ini juga membantu memastikan tiada infrastruktur-infrastruktur haram atau yang telah tamat permit tidak diperbaharui dalam tempoh yang ditetapkan.
Kerajaan negeri juga akan menambah baik sistem pengurusan permohonan pembinaan infra telco dari semasa ke semasa. Ini bagi memastikan piagam pelanggan oleh setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk memproses permohonan baharu dalam tempoh 35 hari bekerja bagi permit bangunan manakala kebenaran merancang dalam tempoh 42 hari bekerja.
Walaubagaimanapun, terdapat beberapa kawasan yang mendapat tentangan daripada penduduk berkenaan pembinaan atau pemasangan menara telco ini. Adalah diharapkan agar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Majlis kawasan dapat membantu memberikan penerangan kepada penduduk dan memberikan kerjasama kepada penjawat awam terutama kakitangan Kerajaan Negeri agar proses pembinaan atau pemasangan menara 5G lebih mudah dan lancar.
Kerajaan negeri juga akan membuat satu garis panduan pengurusan bantahan seperti mana yang dilaksanakan oleh Kerajaan negeri Pulau Pinang berikutan kes bantahan yang tinggi daripada penduduk. Misalnya garis panduan ini mewajarkan penduduk yang membantah atas faktor kesihatan perlu mengemukakan laporan-laporan yang menyatakan bahawa risiko-risiko kesihatan daripada pengamal perubatan professional.
Usaha-usaha ini menunjukkan Kerajaan negeri komited di dalam memastikan negeri Selangor mendapat liputan 5G 100% di seluruh kawasan berpenduduk menjelang 2025.