Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

308) LIPUTAN INTERNET DAN PERKHIDMATAN TELEKOMUNIKASI DI HULU SELANGOR

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Puan Pang Sock Tao

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah rancangan naik taraf liputan 4G dan infrastruktur telekomunikasi di taman perumahan dan kampung-kampung orang asli di Hulu Selangor dan KKB?

    Kerajaan Negeri melalui SMARTSEL Sdn Bhd dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa komited dalam mengenal pasti keperluan dan penambahbaikan perkhidmatan internet di Negeri Selangor.  Kerjasama berterusan antara SMARTSEL, SKMM dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan terus dipertingkatkan dalam usaha untuk menyediakan liputan internet di perkampungan Orang Asli.

    Liputan internet dan perkhidmatan telekomunikasi di Hulu Selangor disediakan melalui dua kaedah iaitu:

    1. Menara Pemancar Telekomunikasi; dan
    2. Broadband Wireless Access (BWA). Menerusi perkhidmatan satelit Vsat.

                       Kini telah dinaik taraf menggunakan perkhidmatan starlink

    Bermula tahun 2021 sehingga tahun 2024, terdapat 107 jumlah Struktur Pemancar Telekomunikasi Komersil yang telah dibina yang terdiri daripada 90 di bawah Rangkaian 4G dan 17 di bawah rangkaian 5G dalam kawasan seliaan Hulu Selangor. Lanjutan daripada itu, terdapat sejumlah 11 menara yang juga telah dibina dan beroperasi dibawah program Jalinan Digital Negara (JENDELA) oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi memberi perkhidmatan di kawasan kampung orang asli.

    Sehingga kini, terdapat 73 tapak permohonan yang diterima bagi menaiktaraf rangkaian talian 4G dan 5G dan masih berbaki 34 tapak yang masih didalam proses permohonan oleh jurutera-jurutera yang bertauliah di Hulu Selangor.

    Untuk makluman Yang Berhormat juga, kawasan-kawasan perkampungan Orang Asli turut diberi perhatian melalui penyediaan perkhidmatan jalur lebar menggunakan teknologi satelit (BWA). Bagi tujuan ini, sebanyak lima (5) lokasi perkampungan Orang Asli di negeri Selangor telah disediakan dengan BWA sejak tahun 2022. Daripada jumlah tersebut, tiga (3) lokasi telah dilaksanakan di kawasan Parlimen Hulu Selangor dan satu (1) lokasi daripadanya merupakan di DUN Kuala Kubu Baharu yang terletak di Kampung Orang Asli Kuala Kerling.

    Kerajaan Negeri melalui SMARTSEL Sdn Bhd dan SKMM sentiasa komited dalam mengenal pasti keperluan dan penambahbaikan perkhidmatan internet di Negeri Selangor, di mana kerjasama berterusan antara SMARTSEL, SKMM dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan terus dipertingkatkan dalam usaha untuk menyediakan liputan internet di perkampungan Orang Asli.

  2. Apakah pelan naiktaraf infrastruktur telco di jalanraya yang kini masih tiada infra telco seperti Jalan Rasa Kuala Kubu Baharu?

    Merujuk kepada Yakin Telesel Sdn Bhd (YTSB) yang merupakan penyelaras perancangan, pelaksanaan dan penyelenggaraan perkhidmatan infrastruktur telekomunikasi di Selangor, sehingga Jun 2024, terdapat 5 (lima) tapak sedia ada yang telah diluluskan sepanjang Jalan Rasa Kuala Kubu Baru dengan pelbagai syarikat penyedia perkhidmatan.

    Selain daripada itu, terdapat 3 (tiga) lagi permohonan baharu yang telah diterima bagi menaiktaraf struktur rangkaian sedia ada di sepanjang jalan Rasa Kuala Kubu Baru.

    Bagi memastikan projek ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, SMARTSEL bersama-sama pihak YTSB akan bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Negeri Selangor bagi mengenalpasti lokasi “blind-spot” di sepanjang Jalan Kuala Kubu Baru untuk menempatkan struktur telekomunikasi yang baharu.

Lampiran

Tiada Lampiran.