Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

185) LIPUTAN INTERNET

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Tuan Danial Al-rashid Bin Haron Aminar Rashid

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah solusi pihak kerajaan untuk atasi capaian internet di kawasan perumahan baharu dan luar bandar?

    Antara usaha Kerajaan Negeri melalui SMARTSEL Sdn Bhd adalah menaiktaraf rangkaian gentian optik di 95 buah Perpustakaan Awam Negeri Selangor (PPAS). PPAS dipilih kerana lokasinya tertumpu di kawasan luar bandar sekaligus boleh dijadikan hub rangkaian untuk menghubungkan kawasan berdekatan yang lain. Setakat ini sebanyak 15 buah Perpustakaan Desa (PPAS) telah selesai dinaiktaraf manakala baki sebanyak 80 unit lagi di seluruh Negeri Selangor akan dinaiktaraf secara berfasa sehingga 2025.

    Selain itu, bagi memudahkan pelaksanaan program Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa 2, Kerajaan Persekutuan telah menggariskan bahawa:

    • Kadar kelajuan purata jalur lebar mudah alih diselaraskan kepada 100Mbps melalui pelaksanaan 5G berbanding 4G iaitu 47Mbps sebelum ini.
    • Peluasan liputan jalur lebar kepada 100% untuk kawasan berpenduduk di seluruh Negeri Selangor pada 2023.

    Pelan Induk Kesalinghubungan Selangor (SCMP) yang sedang dibangunkan pula akan menjadi penanda aras bagi memastikan perancangan teknologi jalur lebar berkelajuan tinggi dapat direalisasikan, ini termasuk strategi menaiktaraf WiFi Smart Selangor sekaligus memperluaskan capaian rangkaian 5G mahupun infrastruktur digital dan telekomunikasi jalur lebar di seluruh Negeri Selangor.

    Bagi kawasan perumahan baru, beberapa perancangan sedang diperhalusi oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi menyediakan infrastruktur jalur lebar tersedia kepada pemilik rumah dengan harga pakej internet yang mampu milik dan berkelajuan tinggi. Kerjasama ini akan dilakukan oleh SMARTSEL Sdn Bhd, sebagai pelaksana infrastruktur digital bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi perumahan sedia ada di Selangor.

    Antaranya:

    • Membangunkan menara telekomunikasi dikawasan yang liputannya terjejas dan tidak memuaskan dengan kerjasama pembina menara dan syarikat telekomunikasi.
    • Memudahcara dengan syarikat telekomunikasi bagi memastikan servis jalur lebar meliputi kawasan pinggir bandar dan perumahan baru.
    • Membina dan menaiktaraf infrastruktur fiber dilokasi terpilih untuk dijadikan hub rangkaian bagi kawasan baharu (greenfield) dan kawasan yang telah dibangunkan (brownfield).

    Di dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) juga, antara fokus utama Kerajaan Negeri adalah kepada transformasi teknologi yang melibatkan pendigitalan infrastruktur dikawasan luar bandar, penyediaan WiFi Pintar Selangor untuk kumpulan sasaran terumatanya B40 dan kawasan perumahan kos rendah selain memastikan 100% liputan 5G dapat dicapai pada akhir tahun 2025.

  2. Apakah perancangan kerajaan untuk pemasangan infrastruktur 5G di Negeri Selangor?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui SMARTSEL Sdn Bhd dan Koridor Utiliti Selangor (KUSEL) sedang bekerjasama dengan Digital Nasional Berhad (DNB) sebagai pemudahcara didalam pelaksanaan pembangunan infrastruktur telekomunikasi dan penyediaan garis panduan 5G. Ini bagi memastikan kesemua cadangan dasar yang telah diluluskan di peringkat pusat, dapat diaplikasikan di peringkat negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar penyediaan infrastruktur digital dapat dimudahcara bagi membantu Selangor merealisasikan agenda Negeri Pintar 2025

     

    Pemantauan dan kemas kini maklumat pemasangan infrastruktur 5G juga dilakukan secara berkala bersama pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi memastikan setiap fasa pelaksanaan berjalan dengan lancar. Dijangkakan juga liputan 5G di seluruh kawasan akan mencapai 96.3% pada akhir tahun ini yang akan mengukuhkan lagi jaringan infrastruktur digital di Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.