Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

166) LESEN PREMIS PENDIDIKAN SWASTA

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Abbas Salimmi Bin Che Adzmi @ Azmi

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah permohonan untuk mendaftarkan premis pendidikan swasta terutama maahad tahfiz akan diselaraskan di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terutama di premis perniagaan?

    Selaras dengan titah DYMM Sultan Selangor agar langkah pemutihan diambil terhadap sekolah-sekolah agama dan tahfiz swasta dan persendirian yang tidak berdaftar, PLANMalaysia Selangor sedang menambah baik Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) Persendirian Negeri Selangor 2020 yang telah diluluskan pemakaiannya di Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Selangor Bil. 4/2020 pada 21 Disember 2020 dan diguna pakai oleh semua PBT di Negeri Selangor. Penambahbaikan yang sedang diperhalusi termasuklah dari segi kadar fi yang akan dikenakan, jabatan yang akan dirujuk untuk ulasan, dokumentasi yang diperlukan dan bentuk kelulusan yang akan diberikan.

     

    Garis panduan ini bertujuan untuk membantu Kerajaan Negeri dan PBT Selangor dalam menyelaras permohonan sekolah agama/tahfiz/maahad yang tidak berdaftar. Dalam garis panduan ini juga, aktiviti sekolah agama/tahfiz/maahad dibenarkan dijalankan di bangunan perniagaan tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat teknikal minima yang telah ditetapkan.

     

    Kerajaan Negeri akan memperhalusi kesesuaian keperluan penyelarasan tersebut dengan mengambil kira faktor – faktor yang terlibat seperti kedudukan kewangan pemilik-pemilik pendidikan swasta yang sering berhadapan dengan kekurangan dana bagi pembangunan dan pengoperasian untuk mematuhi syarat-syarat pihak berkuasa yang berkuatkuasa.

Lampiran

Tiada Lampiran.