Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
167) LESEN PERNIAGAAN
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Abbas Salimmi Bin Che Adzmi @ Azmi
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Rentetan dari permasalahan ekonomi kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang terlalu panjang mengakibatkan rakyat terpaksa mencari pendapatan tambahan dengan berniaga secara kecil-kecilan di tepi jalan seperti peribahasa ‘bagai cendawan tumbuh selepas hujan'. Apakah Kerajaan Negeri berhasrat untuk memberikan lesen perniagaan dan menyelaraskan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Selangor?
Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian kepada golongan peniaga kecil dan penjaja. Sejak tahun 2016, Kerajaan Negeri mengumumkan pengecualian lesen fi penjaja melalui Belanjawan Tahunan. Selain daripada itu, golongan peniaga kecil dan penjaja terus dibela apabila Kerajaan Negeri setiap tahun membuka peluang untuk memajukan perniagaan masing-masing melalui pelbagai inisiatif keusahawan yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri seperti Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan, Skim Pinjaman Mikrokredit oleh Hijrah Selangor dan pelbagai inisiatif lain. Dari aspek ruang niaga, Pihak Berkuasa Tempatan di Negeri Selangor juga turut membantu mempermudahkan supaya setiap peniaga kecil dan penjaja ini dapat berniaga di tapak perniagaan yang sesuai, selamat dan tertumpu di kawasan tumpuan awam. Antara usaha yang telah dijalankan oleh Pihak Berkuasa Tempatan untuk membantu peniaga kecil dan penjaja adalah seperti berikut:
- Mewujudkan tapak-tapak baharu bagi penempatan peniaga kecil;
- Mengesyorkan peniaga ke lokasi yang bersesuaian bagi aktiviti perniagaan;
- Penambahan kuota bagi tapak peniaga sedia ada; dan
- Pemindahan peniaga ke tapak baru yang dilengkapi dengan fasiliti yang lebih baik dan memberi ruang perniagaan kepada peniaga menjalankan perniagaan di dalam bangunan / ruangan perniagaan milik PBT seperti pasar malam, pasar pagi, pasar awam, gerai-gerai di bawah kelolaan PBT dan di dalam program-program yang dilaksanakan di peringkat PBT dan Kerajaan Negeri.