Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012

150) LESEN KAFE SIBER

Tahun: 2012

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Dr Shafie Bin Abu Bakar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Selepas enam tahun lesen pembukaan kafe siber ditahan, kini sekatan tersebut telah ditarik balik. Apakah yang mewajarkan sekatan lesen kepada kafe siber ditarik balik?

    Untuk makluman Yang Berhormat sekalian, sekatan lesen bagi kafe siber masih dibekukan dan belum ditarik balik. Walau bagaimanapun, kelonggaran diberikan kepada premis yang dibuka berhampiran pusat pengajian tinggi bagi memenuhi keperluan pelajar untuk akses kepada kemudahan internet.

  2. Apakah syarat-syarat yang dikenakan kepada peniaga?

    Syarat-syarat yang dikenakan kepada peniaga adalah tertakluk pada Undangundang Kecil Pusat Siber dan Kafe Siber serta garis panduan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri. Antara syarat-syarat yang dikenakan adalah:

    Aktiviti

    1. Aktiviti utama Pusat Siber dan Kafe Siber adalah dihadkan kepada aktiviti penyebaran dan mendapatkan maklumat melalui internet sahaja.
    2. Kegiatan-kegiatan lain adalah tidak dibenarkan sama sekali khususnya kegiatan berbentuk hiburan seperti berikut:a. Permainan video;
      1. Perjudian;
      2. Mengakses dan muat turun gambar-gambar lucah;
      3. Muzik (pipe music);
      4. Penjualan bahan-bahan bercetak yang mengandungi unsur-unsur negatif; dan
      5. Menjual atau menggunakan minuman beralkohol, rokok atau dadah merbahaya di dalam premis.
    • Pengusaha Pusat Siber dan Kafe Siber hendaklah bertanggungjawab untuk memastikan tiada sebarang aktiviti kurang sihat berlaku di Pusat Siber dan Kafe Siber.
    1. Pengusaha Pusat Siber dan Kafe Siber hendaklah mendapatkan surat kelulusan/sokongan polis.

    Tempoh Waktu Operasi

    1. Masa operasi bagi Pusat Siber dan Kafe Siber adalah dihadkan daripada pukul 7.00 pagi sehingga jam 12.00 tengah malam sahaja.
    2. Bagi pengunjung di bawah umur 12 tahun, mereka hanya dibenarkan mengunjungi Pusat Siber dan Kafe Siber sehingga pukul 10.00 malam sahaja.

    Had Umur Pelanggan

    1. Pusat Siber dan Kafe Siber hanya dibuka kepada pengunjung berumur 12 tahun ke atas. Walau bagaimanapun, mereka yang berumur 12 tahun dibenarkan mengunjungi Pusat Siber dan Kafe Siber dengan ditemani oleh ibu bapa ataupun penjaga yang sah.
    2. Pelajar yang berpakaian seragam sekolah adalah dilarang memasuki Pusat Siber dan Kafe Siber.

    Lokasi

    1. Pusat Siber dan Kafe Siber tidak dibenarkan beroperasi berhampiran dengan kawasan-kawasan sensitif seperti masjid, rumah ibadat dan lain-lain kawasan yang dirasakan tidak wajar oleh Pihak Berkuasa Melesen. Jarak minima yang dibenarkan sekurang-kurangnya 500 meter daripada kawasan tersebut.
  3. Adakah dengan syarat-syarat ini dapat menjamin tidak berlakunya gejala sosial dan perjudian?

    Untuk makluman Yang Berhormat sekalian, syarat-syarat yang dikenakan merupakan kaedah dan menjadi garis panduan untuk mengurangkan serta mengawal berlakunya gejala sosial dan perjudian di premis Kafe Siber. Gejala sosial dan perjudian dapat diatasi sekiranya pengusaha mematuhi syarat-syarat yang dikenakan. Dengan adanya syarat-syarat tersebut juga, tindakan penguatkuasaan boleh dikenakan terhadap pemilik premis seperti kompaun, penyitaan atau penutupan premis sekiranya syarat yang telah ditetapkan tidak dipatuhi.

Lampiran

Tiada Lampiran.