Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
12 Julai 2010 hingga 15 Julai 2010
24) LESEN INDUSTRI BURUNG WALID
Tahun: 2010
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Puan Gan Pei Nei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bilakah garis panduan yang terbaru tentang pengurusan industri burung walid akan diluluskan?
Untuk makluman, Kerajaan Negeri telah pun mengambil inisiatif mewujudkan
Undang-Undang Kecil yang berkaitan dengan pelesenan burung walet sahaja di
peringkat negeri melalui perbincangan bersama Pihak Berkuasa Tempatan Selangor
memandangkan buat masa ini pihak Kerajaan Negeri masih belum menerima
sebarang maklum balas daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia yang
masih merangka Garis Panduan Perusahaan Burung Walet yang lebih terperinci
untuk diguna pakai di seluruh Malaysia.
Di samping itu, Kerajaan Negeri juga telah mengadakan Bengkel Penetapan Dasar
Kerajaan Negeri, Pelan Pemutihan Dan Prosedur Pelesenan Pemajuan
Pengusahaan Burung Walet Negeri Selangor yang melibatkan beberapa jabatan
teknikal antaranya Pejabat Tanah dan Daerah, PBT, Jabatan Perancangan Bandar
dan Desa Selangor, Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Jabatan Perkhidmatan
Veterinar Selangor, Persatuan Perusahaan Burung Walet dan beberapa jabatan
berkaitan. Tujuan bengkel berkenaan dilaksanakan adalah bagi memudahkan
penyelarasan dari segi peraturan dan juga prosedur yang akan diguna pakai oleh
setiap jabatan yang terlibat dalam pengurusan pemutihan, pembangunan mahupun
pelesenan perusahaan burung walet.
Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri kini masih dalam tindakan semakan dan
penambahbaikan ke atas Undang-Undang Kecil tersebut dan juga prosedur
pengurusan pemutihan, pembangunan serta pelesenan industri burung walet.
Setelah selesai semakan, UUK dan prosedur berkenaan akan dibentangkan kepada
Kerajaan Negeri dan diharapkan Kerajaan Negeri dapat membantu
memperkembangkan industri burung walet di Negeri Selangor. -
Senaraikan kawasan yang telah dikenal pasti sebagai zon industri burung walid mengikut daerah?
Berdasarkan beberapa perbincangan melalui Bengkel Penetapan Dasar Kerajaan
Negeri, Pelan Pemutihan Dan Prosedur Pelesenan Pemajuan Pengusahaan Burung
Walet Negeri Selangor yang telah diadakan pada 8 – 9 Jun 2010, telah dipersetujui
agar zon industri burung walet tidak praktikal untuk diwujudkan memandangkan
habitat burung walet adalah bersifat semula jadi di mana burung walet tidak boleh
dipaksa untuk berpindah ke kawasan yang telah disenaraikan sebagai zon industri
burung walet. Untuk makluman, cadangan pengezonan industri burung walet
tersebut telah pun dilaksanakan di peringkat Negeri Kedah dan Kelantan namun
gagal.
Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri masih membuat semakan dan kajian ke atas
pembangunan dan perusahaan burung walet yang dicadangkan hanya boleh
dijalankan di kawasan tertentu sahaja. -
Badan manakah yang bertanggungjawab terhadap segala pemanduan dan juga aduan awam dalam pengurusan industri burung walid?
Buat masa ini, Kerajaan Negeri masih belum memutuskan badan yang
bertanggungjawab terhadap segala pemanduan dan juga aduan awam dalam
pengurusan industri burung walet. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri
bercadang agar Jabatan Pelesenan PBT akan bertanggungjawab ke atas sebarang
aduan berkenaan pelesenan burung walet manakala Pejabat Tanah dan Daerah
akan bertanggungjawab ke atas sebarang aduan yang melibatkan perusahaan
burung walet di tanah pertanian, persisiran sungai dan tanah bencah di mana akan
dibantu oleh tiga (3) agensi utama iaitu Jabatan Perancangan Bandar dan Desa
Selangor, Pejabat Tanah dan Galian Selangor dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar
Selangor