Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
349) LESEN DAN PERMOHONAN PUSAT HIBURAN
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Puan Nurul Syazwani Binti Noh
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapakah jumlah lesen yang telah diluluskan untuk pusat hiburan di Selangor (senaraikan mengikut DUN) dalam tempoh lima tahun yang lepas? Apakah kadar kelulusan permohonan yang diterima?
Data mengenai jumlah permohonan dan kelulusan lesen hiburan dari tahun 2020 hingga 2024 oleh setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor adalah seperti berikut:-
Bil. PBT 2020 – 2024
JUMLAH PERMOHONAN JUMLAH KELULUSAN
Peratusan Lulus (%) 1. MBSA
72 46 64%
2. MBPJ
376 252 67%
3. MBSJ
151 142 94%
4. MBDK
183 183 100%
5. MPS
42 41 98
6. MPKj
56 55 98%
7. MPAJ
94 94 100%
8. MPSp
62 62 100 %
9. MPKL
24 22 92%
10. MPKS
37 30 81%
11. MPHS
31 11 35%
12. MDSB
36 36 100%
JUMLAH
1164 974 84%
-
Apakah kriteria khusus yang digunapakai oleh Kerajaan Negeri dalam menilai dan meluluskan permohonan lesen pusat hiburan? Adakah terdapat penekanan terhadap aspek keselamatan, sosial dan pematuhan undang undang?
Kriteria khusus yang digunapakai oleh Kerajaan Negeri dalam menilai dan meluluskan permohonan lesen pusat hiburan di dalam aspek keselamatan, sosial dan pematuhan undang-undang adalah seperti berikut:
- Keselamatan:
Pemohon perlu mematuhi syarat keselamatan yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan seperti pemasangan sistem pemadam api, laluan keluar kecemasan, dan keperluan keselamatan lain serta mendapat pengesahan mengenai perkara berikut di atas melalui ulasan dan sokongan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat; dan
Semakan latar belakang pemohon akan dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia bagi memastikan tiada rekod jenayah atau rekod gangsterism.
- Sosial:
Jarak premis hiburan dengan bangunan kerajaan atau rumah ibadah adalah pada jarak yang ditetapan oleh PBT bergantung kepada jenis premis hiburan yang dipohon; dan
Kelulusan pemohonan juga bergantung kepada lokasi pusat hiburan tersebut dan impak kepada komuniti sekeliling. Ini bagi memastikan premis tidak menimbulkan kesan negatif kepada kawasan perumahan berdekatan serta mematuhi norma dan mengambil kira sensitiviti masyarakat setempat dari segi moral dan budaya. Perkara ini ditetapkan melalui Rancangan Tempatan oleh setiap PBT.
- Pematuhan undang undang:
Tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mana-mana pelanggaran peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa seperti Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Selangor 1995, Peraturan-Peraturan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Selangor) 1996 dan Akta Duti Hiburan 1953.
- Keselamatan:
-
Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk memperbanyakkan pusat hiburan di Selangor dalam mengimbangi permintaan industri hiburan, keperluan ekonomi dan kepentingan kesejahteraan sosial?
Pada masa ini, Kerajaan Negeri Selangor meneruskan dasar sedia ada berhubung perkembangan pusat-pusat hiburan di Negeri Selangor. Semua permohonan pusat hiburan yang baharu diproses oleh PBT berdasarkan peruntukan undang-undang dan pekeliling yang sedang berkuatkuasa. Pengeluaran lesen pusat hiburan juga adalah tertakluk kepada Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1995 serta Peraturan-Peraturan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Selangor) 1996.
Surat Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Seksyen Pembangunan Kerajaan Tempatan) PBT: Kt Bil 3/2001 dan Surat Pekeliling Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor 2008 telah menggariskan jenis-jenis hiburan yang dibenarkan dan penetapan zon pusat hiburan yang merangkumi kompleks perniagaan, pusat komersial dan hotel bertaraf tiga bintang ke atas untuk memudahkan pemantauan oleh PBT dan pihak polis.
Dengan dasar dan kawalan ini, Kerajaan Negeri dapat memenuhi keperluan ekonomi dan permohonan daripada industri hiburan secara terkawal. Perkara ini adalah penting untuk melindungi kesejahteraan dan ketenteraman sosial masyarakat setempat.