Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

189) LEMBU BERKELIARAN

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Jefri Bin Mejan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah denda/ kompaun sedia ada di PBT berkesan bagi mengatasi masalah lembu-lembu yang berkeliaran yang membahayakan pengguna jalan raya?

    Pada masa kini, Pihak Berkuasa Tempatan menguatkuasakan peruntukan yang terdapat di bawah Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971 seksyen 5(1) yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1,000.00 atau penjara selama tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekiranya didapati pemilik ternakan telah membiarkan ternakan berkeliaran di luar kawasan penternakan yang dibenarkan. Pihak Pejabat Daerah dan Tanah juga boleh mengambil tindakan di bawah Seksyen 427 Kanun Tanah Negara yang memperuntukkan denda sebanyak RM100.00. Kadar denda yang dikenakan adalah sangat rendah dan tidak dapat menampungkos penguatkuasaan yang terlibat terutamanya kos penyimpanan dan penjagaan lembu-lembu yang dirampas yang ditempatkan di depoh.

  2. Apakah ada tindakan undang-undang yang lebih berat akan diambil selain denda atau kompaun sedia ada untuk mengatasi masalah ini?

    Pada masa kini, tiada tindakan undang-undang yang lebih berat selain daripada hukuman yang telah ditetapkan dalam Enakmen Mengawal Lembu Kerbau 1971 (MLK 1971). Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri dalam proses membuat pindaan dan menambahbaik enakmen ini supaya lebih efektif untuk menangani isu haiwan berkeliaran dan menimbulkan masalah kacau ganggu.

    Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri akan mewujudkan Jawatankuasa Pindaan Enakmen MLK 1971 yang disyorkan terdiri daripada:

    1. Wakil Kamar Penasihat Undang-undang;
    2. Wakil Ketua Polis Negeri Selangor;
    3. Wakil Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor;
    4. Wakil UPEN – Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan;
    5. Wakil sema Pihak Berkuasa Tempatan; dan
    6. Wakil sema Pejabat Daerah dan Tanah.

    Langkah pindaan ini juga merangkumi pewujudan “kaedah-kaedah” baharu bagi melaksanakan mana-mana peruntukan dalam enakmen ini. Kaedah-kaedah baharu ini dijangka menjadikan penguatkuasaan enakmen ini lebih teratur dan efektif di mana semua pihak yang terlibat jelas dengan peranan serta tanggungjawab masing-masing.

Lampiran

Tiada Lampiran.