Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015
224) LEMBAGA URUS AIR NEGERI SELANGOR (LUAS)
Tahun: 2015
Sesi: 1
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Nyatakan struktur, pasukan pengurusan dan pengarah luas di bawah kepimpinan yang baharu?
Sehingga Mac 2015, jumlah kakitangan LUAS adalah seramai 96 orang dengan waran perjawatan tetap seramai 69 orang dan kakitangan berstatus kontrak seramai 26 orang. LUAS diketuai oleh Tuan Haji Md Khairi Bin Selamat, Pengarah LUAS yang keempat. Struktur LUAS merangkumi 1 Bahagian Teknikal yang terdiri daripada 4 Seksyen dan 1 Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan yang terdiri daripada 2 unit. Kedua-dua bahagian ini memantau, mengawal dan menguatkuasakan perundangan di ketujuh-tujuh lembangan sungai di Negeri Selangor dan aktiviti berkaitan sumber air di dalamnya. Selain itu, LUAS juga terdiri daripada 1 Bahagian Khidmat Pengurusan yang merangkumi 3 unit, diikuti dengan Unit Korporat dan Unit Audit Dalam. Pengurusan atasan LUAS adalah terdiri daripada ahli-ahli lembaga pengarah seperti yang digariskan di dalam Seksyen 4, Enakmen LUAS 1999 seperti berikut:
Ahli Lembaga Pengarah LUAS
Pengerusi :
Dato’ Menteri Besar Selangor
Timbalan Pengerusi :
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor
Setiausaha :
Pengarah Lembaga Urus Air Selangor
Ahli Tetap :
- Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor
- Pegawai Kewangan Negeri Selangor
- Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia
- 2 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang dilantik oleh Menteri Besar :
- Ahli yang dilantik berdasarkan kepakaran di dalam pengurusan sumber air :
-
Apakah hala tuju dan strategi LUAS untuk masa hadapan selepas pelantikan Menteri Besar yang baharu?
Hala tuju dan objektif LUAS sentiasa berlandaskan kepada Enakmen LUAS 1999. LUAS menguatkuasakan fungsi-fungsinya seperti yang digariskan di dalam Seksyen 6(1) dan berdasarkan kuasa yang diberi seperti di dalam Seksyen 6(2) Enakmen LUAS 1999. Ianya adalah untuk menguruskan sumber air Negeri secara bersepadu dan holistik bagi menjamin kualiti dan kuantiti sumber air yang bersih dan mencukupi untuk dibekalkan kepada pengguna.
MAKLUMAT TAMBAHAN UNTUK JAWAPAN SOALAN (a)
Ahli Lembaga Pengarah LUAS
Pengerusi :
Dato’ Menteri Besar Selangor
Y.A.B. Tuan Mohamed Azmin Bin Ali.
Timbalan Pengerusi :
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor
Y.B. Dato’ Haji Mohammed Khusrin Bin Haji Munawi.
Setiausaha :
Pengarah Lembaga Urus Air Selangor
Tuan Haji Md Khairi Bin Selamat.
Ahli Tetap :
- Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor
Y.B. Dato’ Haji Nik Suhaimi Bin Nik Sulaiman.
- Pegawai Kewangan Negeri Selangor
Y.B. Dato’ Noordin Bin Sulaiman.
- Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia
Y.Bhg. Dato’ Sri Ir. Haji Ahmad Husaini Bin Sulaiman.
- 2 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang dilantik oleh Menteri Besar :
Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping,
Pengerusi,
Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna.
Y.B. Tuan Zaidy Bin Abdul Talib,
Pengerusi,
Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani.
5 ahli yang dilantik berdasarkan kepakaran di dalam pengurusan sumber air :
Puan Siti Zaleha Binti Ibrahim,
Pengarah,
Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor.
- Tan Sri Dato’ Ir. Syed Muhammad Shahabudin Bin Syed Hassan Shahabudin,
- Pengarah Eksekutif,
- SMHB Sdn. Bhd.
- Datuk Ir. Mohd Adnan Bin Mohd Nor,
Pengarah Urusan,
RPM Engineers Sdn. Bhd.
Prof. Dr. Zulkifli Bin Yusop,
Pensyarah,
Universiti Teknologi Malaysia.
Ir. Dr. Salmah Binti Zakaria,
Pegawai Hal Ehwal Ekonomi,
UNESCAP.
MAKLUMAT TAMBAHAN UNTUK JAWAPAN SOALAN (b)
Pembangunan Pelan Strategik LUAS 2012-2016 telah diwujudkan pada tahun 2012 untuk menentukan hala tuju LUAS bagi tempoh 5 tahun. Pelan strategik LUAS ini menggariskan 4 objektif strategik iaitu;
i) Kelestarian Kualiti dan Kuantiti Sumber Air,
ii) Pemerkasaan Pelaksanaan Fungsi,
iii) Kecekapan Sistem Penyampaian, dan
iv) Pemantapan Kolaborasi bersama Pihak Berkepentingan.
Keempat-empat objektif strategik ini ditetapkan untuk meningkatkan keberkesanan perkhidmatan LUAS bermula daripada pentadbiran dalaman, pelaksanaan fungsi sehingga kepada penglibatan semua pihak terlibat. Pelan ini akan dikaji semula pada tahun ini untuk mewujudkan kesinambungan bagi tempoh pelan yang seterusnya selari dengan dasar-dasar Kerajaan Negeri.
LUAS telah menguatkuasakan 5 peraturan yang diwartakan untuk meningkatkan kawalan terhadap penggunaan sumber air bagi aktiviti-aktiviti tertentu. Kelima-lima peraturan ini ditambah baik dari aspek kandungan dan penguatkuasaannya dari semasa ke semasa untuk memastikan ianya selari dengan keadaan semasa sumber air Negeri. Bagi tahun 2015, satu lagi peraturan akan diwartakan dan dikuatkuasakan oleh LUAS iaitu Pelesenan dan Caj Aktiviti Rekreasi Air yang mana memberi panduan kepada LUAS untuk mengawal aktiviti-aktiviti rekreasi yang dijalankan berdekatan sumber air.
Selain daripada penguatkuasaan peraturan-peraturan berkaitan, LUAS juga telah mewujudkan dasar-dasar yang telah digunapakai di peringkat Negeri iaitu Dasar Pengurusan Sungai Negeri Selangor dan Dasar Pengurusan Tasik Negeri Selangor. Kedua-dua dasar ini diwujudkan bagi memelihara keadaan semulajadi fizikal sungai dan tasik sedia ada supaya tidak diubah bagi mengurangkan impak kepada alam sekitar. LUAS sedang melihat beberapa dasar lain yang boleh diwujudkan untuk memantapkan lagi kawalan terhadap aktiviti berkaitan sumber air di Negeri Selangor.
Untuk jangka masa panjang, hala tuju LUAS di dalam pengurusan sumber air Negeri adalah untuk mengoptimakan penggunaan air larian permukaan sebagai bekalan air mentah Negeri dan sumber-sumber alternatif lain seperti air bumi, tasik dan kolam. Berdasarkan analisa daripada Kajian Semula Sumber Air Negara 2000-2050, terdapat sebanyak 9,168 juta liter sehari (JLH) air larian yang belum dimanfaatkan. Ke arah ini beberapa projek sedang dilaksanakan seperti HORAS 600 dan kolam takungan hiliran dengan kapasiti 3,000 JLH yang boleh mengoptimakan lebihan aliran air sungai dan mengurangkan impak banjir di hilir. Kolam takungan Sg. Rasau juga sedang dibangunkan dan kajian sedang dijalankan bagi kolam takungan dengan fungsi yang sama di Sg. Langat. LUAS juga telah menjalankan Kajian Kebolehdapatan Sumber Air Bumi untuk mengenalpasti jumlah air bumi yang boleh digunakan ketika waktu-waktu tertentu sebagai tambahan dan alternatif kepada sumber air sedia ada.
Penglibatan LUAS di peringkat Asia bersama Network of Asian River Basin Organization (NARBO) juga telah membolehkan LUAS dinilai dari segi prestasi perkhidmatannya pada tahun 2013. LUAS telah dinilai dengan pencapaian sebanyak 67% dan adalah yang terbaik di antara 3 organisasi di Asia pada tahun 2013. LUAS mensasarkan untuk mencapai penilaian sehingga 85% pada tahun 2018 berdasarkan ulasan-ulasan dan cadangan penambahbaikan yang disarankan oleh pihak penilai.