Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

145) LEBUHRAYA SUKE DAN PEMASANGAN PENCAWANG ELEKTRIK DI DUN TERATAI

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Puan Tiew Way Keng

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri telah meluluskan laluan lebuh raya SUKE?

    Pihak konsesi PROLINTAS Sdn. Bhd. telah membentangkan cadangan jajaran Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi – Ulu Kelang (SUKE) kepada Pihak Berkuasa Negeri pada 12 April 2012, dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) 14/2012 yang bersidang pada 18 April 2012 telah bersetuju secara dasarnya bagi melakarkan jajaran Lebuhraya SUKE ke dalam Pelan Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj). Tiada kelulusan muktamad telah dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri. Keputusan muktamad hanya akan dipertimbangkan setelah pihak pemohon; dalam hal SUKE adalah PROLINTAS, mematuhi setiap proses dan prosedur yang ditetapkan oleh agensi-agensi teknikal seperti Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD), Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

    Pihak PROLINTAS telah mengadakan beberapa siri Town Hall Meeting dan pameran di MPAJ dan MPKj pada 8 hingga 23 Febuari 2012.

  2. Adakah Kerajaan Negeri telah mengkaji dengan teliti cadangan dan bantahan penduduk atas pemasangan pencawang elektrik TNB di DUN Teratai?

    Kerajaan Negeri amat prihatin dan mengambil berat akan pandangan wakil rakyat serta penduduk tempatan berhubung perkara-perkara berkaitan dengan pembangunan infrastruktur dan sebagainya. Ini termasuklah rancangan pembangunan pencawang elektrik TNB yang jajarannya melibatkan DUN Teratai dan merentasi pentadbiran MPAJ. Projek tersebut merupakan sebahagian daripada sistem grid nasional iaitu projek Talian 275kV Bentong – Ampang Timur – Kampong Pandan yang akhirnya akan berhubung dengan laluan talian penghantaran elektrik TNB Mahkota Cheras.

    Beberapa siri taklimat dan perbincangan lanjut telah dibuat bersama dengan penduduk tempatan, Badan Bukan Kerajaan, Agensi Kerajaan dan tidak ketinggalan Ahli Parlimen Pandan dan ADUN Teratai bagi memilih beberapa opsyen laluan yang dapat mengurangkan impak dari segi sosial dan ekonomi sebelum diangkat untuk pertimbangan Kerajaan Negeri. Pandangan-padangan daripada wakil rakyat dan penduduk tempatan akan sentiasa diberi pertimbangan. Ulasan dan syarat-syarat yang telah digariskan oleh semua agensi teknikal telah dibentangkan di mesyuarat MTES dan telah diberi pertimbangan kelulusan.

    Kerajaan Negeri juga turut mendapatkan pelbagai input daripada Jabatan dan Agensi seperti Jabatan Ketua Pengarah Tanah Galian (JKPTG), Jabatan Perhutanan, Pejabat Tanah Galian Selangor (PTGS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhubung laluan talian penghantaran elektrik TNB Mahkota Cheras.

    Berdasarkan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) 24/2014 pada 25 Jun 2014, Kerajaan Negeri telah bersetuju supaya laluan pencawang elektrik TNB bagi pembinaan Projek Penghantaran Elektrik 275kv TNB dari Cheras Hartamas ke Pencawang Masuk Utama (PMU) Mahkota Cheras adalah melalui rezab Hutan Simpan Sungai Bukit Seputeh dan tidak melalui kawasan perumahan. Pihak TNB telah menyediakan Environment Management Plan (EMP) sepertimana yang telah diputuskan oleh Kerajaan Negeri.

    Pada masa yang sama, pembinaan projek penghantaran Talian 275kV Bentong – Ampang Timur – Kampong Pandan dan projek Talian 275kv dari Cheras Hartamas ke Pencawang Masuk Utama (PMU) Mahkota Cheras juga telah dibentangkan semula dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 6 November 2014 dan 13 November 2014 bagi tujuan pelaksanaan seterusnya oleh pihak TNB.

  3. Adakah Kerajaan membenarkan pemasangan tol lebuh raya di Selangor? di mana?

    Kerajaan Negeri sentiasa terbuka dalam mempertimbangkan permohonan bagi pelaksanaan empat (4) lebuhraya di Negeri Selangor menjelang tahun 2015 seperti yang diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan di dalam Belanjawan 2015.

    Kerajaan Negeri Selangor berpendirian bahawa pandangan dan pendapat pihak awam serta pihak-pihak berkepentingan akan diberi pertimbangan dan diambilkira sebelum keputusan muktamad dibuat oleh Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri juga akan mendesak pihak-pihak yang membangunkan mana-mana lebuhraya untuk membentangkan kadar pulangan setiap lebuhraya termasuklah kadar tol.

    Pandangan pihak awam serta pihak berkepentingan ini termasuklah suara hati persatuan penduduk yang terlibat dalam sesebuah pembangunan termasuklah pembangunan lebuhraya. Pembangunan sesebuah lebuhraya mesti memberi manfaat dan keuntungan kepada pengguna dan rakyat.

    Maka itu, mana-mana pihak yang terlibat dalam apa jua bentuk pembangunan di Negeri Selangor mestilah mematuhi setiap proses dan prosedur yang ditetapkan oleh agensi-agensi teknikal seperti Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD), Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan seumpamanya. Pematuhan kepada syarat-syarat dan peraturan yang telah ditetapkan adalah sangat perlu supaya Kerajaan Negeri dapat mempertahankan rakyat daripada menerima masalah-masalah pencemaran, kesihatan, banjir, kemalangan dan sebagainya.

Lampiran

Tiada Lampiran.