Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

230) LEBUHRAYA SUKE

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status semasa perlaksanaan projek lebuhraya SUKE (dalam bidang kuasa kerajaan negeri)

    Seperti umum sedia maklum, projek Lebuhraya SUKE telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri melalui MMKN Ke 16/2012 pada 2 Mei 2012 dan disahkan oleh MMKN Ke 17/2012 pada 9 Mei 2012. Status semasa pelaksanaan projek ini (dalam bidang kuasa Kerajaan Negeri sahaja) adalah seperti berikut:

    • Pelan Pengambilan Tanah di bawah Seksyen 8, Akta Pengambilan tanah 1960 telah diluluskan dan telah diwartakan pada 23 Julai 2015 untuk Daerah Hulu Langat dan 8 Oktober 2015 untuk Daerah Gombak. Proses perbicaraan untuk pengambilan tanah ini masih dijalankan untuk kedua-dua daerah; dan
    • Pewartaan jajaran SUKE dalam Rancangan Tempatan (RT) PBT yang berkaitan iaitu MPAJ dan MPKj telah dibuat iaitu pada 21 Jan 2016 untuk Rancangan Tempatan (RT) MPAJ dan 9 April 2015 untuk Rancangan Tempatan (RT)
  2. Apakah keuntungan yang diterima oleh kerajaan dan rakyat Selangor hasil pelepasan rezab hutan simpang bagi projek ini

    Dalam melaksanakan pembinaan projek lebuhraya ini, terdapat dua (2) kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang terlibat di negeri Selangor iaitu Hutan Simpan Bukit Sungai Putih Selatan dan Hutan Simpan Bukit Sungei Putih Utara. Kawasan HSK yang terlibat adalah masing-masing seluas 24.378 hektar dan 5.604 hektar. Dalam hal ini, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor telah bersetuju untuk menerima pelan gantian di sebahagian Plot 1 PT 37790 (HSD 161498) di Mukim Semenyih, Daerah Hulu Langat yang berkeluasan 183 hektar

    sebagai gantian tapak HSK yang akan dimajukan. Ini adalah kerana tapak cadangan kawasan gantian ini adalah bersempadanan dengan Hutan Simpan Ulu Langat. Selain itu, kawasan cadangan gantian ini juga mempunyai keluasan melebihi tiga (3) kali ganda besarnya berbanding kawasan yang dipohon. Oleh yang demikian, bukan sahaja Kerajaan Negeri masih dapat mengekalkan sekurang-kurangnya 30 peratus (%) keluasan hutan simpan di negeri ini selaras dengan dasar semasa yang sedang diamalkan bahkan dalam pada masa yang sama meningkatkan jumlah keluasan hutan simpanan Negeri Selangor berbanding sebelumnya.

     

  3. Apakah tindakan kerajaan dalam menangani bantahan (alam sekitar & pencemaran)

    Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dikehendaki untuk melaksanakan proses Kaedah-kaedah Penyiasatan Awam (Selangor) 2014 selaras dengan keperluan di bawah Seksyen 11, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985, sebelum kawasan HSK yang terlibat dikeluarkan daripada HSK yang telah diwartakan di bawah Seksyen 10, Enakmen (Pemakaian) akta yang sama. Bagi menjalankan penyiasatan awam ini, satu notis pemberitahuan dikeluarkan untuk mengemukakan bantahan secara bertulis kepada Pengarah Perhutanan Negeri Selangor mengenai cadangan pemansuhan HSK yang terlibat. Melalui kaedah ini maklum balas daripada orang awam boleh diperolehi mengenai isu-isu yang ingin dibangkitkan seperti risiko banjir dan tanah runtuh serta isu-isu alam sekitar yang lain. Isu-isu yang dibangkitkan akan dinilai oleh Jawatankuasa Penyiasatan Awam dan laporan penuh penyiasatan awam mengenai bantahan akan dibentang kepada Kerajaan Negeri untuk pertimbangan dan

    Selain menangani bantahan dari sudut undang-undang, Kerajaan Negeri turut mengarahkan supaya pihak syarikat dengan kerjasama LLM dan juga PBT berkaitan mengadakan sesi taklimat dan dialog dengan penduduk setempat dan meneruskan rundingan berkenaan dari semasa ke semasa supaya penduduk sentiasa dimaklumkan akan setiap progress kerja yang dijalankan.

Lampiran

Tiada Lampiran.