Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
343) LEBUHRAYA PERSISIRAN PANTAI BARAT/ WEST COAST EXPRESSWAY (WCE)
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Jefri Bin Mejan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk mempercepatkan pelaksanaan projek E32 Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE)?
Pihak Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan sentiasa berkerjasama dalam memastikan isu-isu pembinaan khususnya berkenaan pengambilan tanah dan kebenaran merancang dapat disegerakan supaya projek WCE ini dapat dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan. Sesi libat urus juga telah diadakan dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG), Pejabat Tanah & Daerah (PTD) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) khususnya bagi tindakan penguatkuasaan pengambilan tanah selepas prosedur serta keperluan perundangan (legal requirements) yang ditetapkan telah dipatuhi.
-
Adakah Kerajaan Negeri bersedia menjadi moderator di antara WCE dengan agensi serta NGO untuk menyelesaikan masalah berbangkit seperti banjir/ jalan rosak disebabkan pembangunan WCE?
Pihak Kerajaan Negeri (Pejabat Menteri Besar, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat EXCO dan Agensi di bawah Kerajaan Negeri Selangor) bersama-sama Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sentiasa bekerjasama dengan agensi Kerajaan yang lain seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan kerja-kerja pembinaan lebuhraya dalam keadaan terkawal supaya kejadian banjir berikutan pembinaan lebuhraya WCE ini dapat di bendung daripada berlaku.
Selain itu, dua (2) jawatankuasa juga telah diwujudkan diperingkat negeri bagi memantau pelaksanaan projek di Negeri Selangor iaitu Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Negeri (JTPNg) dan Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Lebuhraya Dan Projek Infrastruktur Di Dalam Negeri Selangor bagi memudahcara sebarang isu berbangkit supaya dapat diberi perhatian dan dibincangkan dengan segera bersama agensi berkaitan.