Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016
46) LEBUHRAYA LATAR DAN JALAN SAUJANA UTAMA
Tahun: 2016
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Dato' Haji Amiruddin Bin Setro
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status terkini cadangan sambungan lebuhraya LATAR ke Lumut yang kini terhenti di Bukit Rotan Kuala Selangor?
Saya ingin menjelaskan bahawa, pembangunan sebarang projek berkaitan lebuhraya termasuklah lebuhraya LATAR ke Lumut seperti yang dibangkitkan adalah di bawah tanggungjawab sepenuhnya Kerajaan Persekutuan. Peranan Kerajaan Negeri hanyalah dalam memberikan kelulusan secara dasar terhadap jajaran lebuhraya yang dicadangkan, pemantauan ke atas cadangan jajaran untuk dimasukkan ke dalam Rancangan Tempatan (RT) PBT yang terlibat, kelulusan di bawah Seksyen (4) dan Seksyen (8) Akta Pengambilan Tanah 1960 serta pewartaan jajaran sebagai rizab jalan.
Berkaitan dengan perkara yang dibangkitkan, lebuhraya ini akan bersambung dengan projek Lebuhraya Pantai Barat (WCE) yang sedang dalam pembinaan. Jajaran lebuhraya WCE akan melalui Sitiawan, Perak dan terdapat satu persimpangan bertingkat iaitu Persimpangan Bertingkat Sitiawan yang akan menghubungkan Lumut melalui jalan sedia ada. Cadangan sambungan lebuhraya LATAR yang terhenti ini akan dimulakan pelaksanaannya setelah Lebuhraya WCE siap dibina.
-
Adakah kerajaan negeri mempunyai cadangan untuk menangani kesesakan lalulintas di jalan Saujana Utama ke jalan Kuala Selangor pada awal pagi?
Untuk makluman Y.B., kesesakan lalu lintas seperti yang dibangkitkan berlaku di jalan laluan keluar dan masuk dari kawasan Bandar Saujana Utama ke Jalan Persekutuan FT54. Jalan ini melibatkan laluan di bawah bidang kuasa dua (2) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS). Permasalahan ini sedang dibincangkan dengan pihak yang terlibat supaya perkara ini dapat diselesaikan dengan cara yang terbaik.
Untuk makluman Y.B. juga, Jalan Saujana Utama ke Jalan Kuala Selangor pula merupakan Jalan Persekutuan (FT54). Ini bermakna, semua perkara berkaitan penyelenggaraan dan pelebaran jalan tersebut adalah di bawah kawal selia dan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor untuk mengemukakan permohonan peruntukan di bawah RMKe-11 kepada Ibu Pejabat, Jabatan Kerja Raya. Walau bagaimanapun, permohonan berkenaan tidak diluluskan.