Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

18) LEBUHRAYA KIDEX

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan negeri telah memuktamadkan keputusan membatalkan perlaksanaan projek ini?

    Sebagaimana sedia maklum bahawa Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Ke 7/25 pada 17 Februari 2015 dan telah disahkan di dalam MMKN Ke 8/25 pada 25 Februari 2015 telah membuat keputusan tidak mempertimbangkan dan membatalkan pembangunan Lebuhraya KIDEX. Keputusan ini selaras dengan kegagalan pihak konsesi Projek Lebuhraya KIDEX untuk memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan iaitu:

    • Menyediakan Penilaian Impak Lalulintas (Traffic Impact Assessment) yang bebas, Penilaian Impak Sosial (Social Impact Assessment) dan Penilaian Impak Alam Sekitar (Environmental Impact Assessment). Kajian-kajian ini perlu membuktikan manfaat yang ternyata kepada pihak pengguna dan penduduk di kawasan yang terlibat setelah mengambil kira kesan negatif yang timbul akibat pembinaan lebuhraya tersebut;
    • Mendedahkan kadar tol sepanjang tempoh konsesi termasuk fasa kenaikan tol yang ditetapkan dalam konsesi. Pihak konsesi perlu memberi anggaran rasmi jumlah tol yang akan dikutip dan kadar pulangan pelaburan (rate of return to invesment); dan
    • Mendedahkan perjanjian konsesi sepenuhnya untuk mematuhi dasar Kerajaan Negeri yang mengamalkan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban.

    Keputusan pembatalan pembangunan projek Lebuhraya KIDEX telah dimaklumkan kepada pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) pada 29 Disember 2014. Lanjutan daripada keputusan itu, pihak Kementerian yang diketuai oleh Menteri Kerja Raya iaitu Y.B. Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof bersama-sama rombongannya telah berkunjung ke Negeri Selangor untuk mengadakan perbincangan berkaitan pelaksanaan KIDEX.

    Dalam pertemuan itu, saya telah menyatakan bahawa sebarang pelaksanaan pembangunan projek di Negeri Selangor perlu mematuhi peraturan Seksyen 20 (A) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) yang memperuntukkan tiada seorang pun boleh memulakan, mengusahakan atau menjalankan apa-apa pemajuan selain menurut kebenaran merancang yang diberikan kepadanya. Seksyen 20 (A) Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) menghendaki setiap jabatan atau agensi kerajaan berunding dengan Jawatankuasa Perancang Negeri (JPN) berkenaan aktiviti pemajuan yang hendak dijalankannya. Ini adalah bagi membolehkan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) mengambil maklum berkenaan dengan projek pembangunan yang hendak dilaksanakan dan mengelakkan kemungkinan pemajuan berkenaan terkeluar daripada perancangan dan seterusnya menyulitkan kerja-kerja penyelarasan pembangunan fizikal di kawasan tersebut. Kerajaan Negeri juga menggunapakai Seksyen 18(i) Akta 172 yang memperuntukkan tiada seorang pun boleh menggunakan atau membenarkan sesuatu tanah atau bangunan digunakan melainkan menurut Rancangan Tempatan.

    Selaras dengan itu, saya juga telah mengumumkan bahawa pembangunan Lebuhraya KIDEX tidak dimasukkan dalam Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Lanjutan daripada itu,  Kerajaan Negeri juga memutuskan supaya pembangunan Lebuhraya KIDEX juga tidak dimasukkan di dalam deraf Rancangan Struktur Negeri Selangor yang sedang digubal. Tindakan ini adalah jelas menunjukkan bahawa pembangunan Lebuhraya KIDEX tidak dipertimbangkan dan dibatalkan pembangunannya oleh Kerajaan Negeri.

  2. Apakah tindakan alternatif yang diambil bagi mengatasi masalah kesesakan lalulintas dikawasan yang terlibat sekiranya projek ini dibatalkan?

    Sebagai langkah alternatif, Kerajaan Negeri telah mengarahkan pihak Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) Selangor untuk menjalankan kajian dan menyediakan Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor. Kerajaan Negeri memutuskan supaya Pelan Induk Pengangkutan Awam Darat Negeri Selangor dibangunkan dalam tempoh enam (6) bulan bermula dari bulan April 2015. Kajian Pelan Induk Pengangkutan Awam yang dijalankan akan lebih menyeluruh serta merangkumi aspek sistem pengangkutan awam sedia ada, sistem jaringan jalan raya dan lalu lintas yang akan membantu memperbaiki sistem pengurusan trafik di Negeri Selangor. Melalui pembangunan pelan induk itu juga, Kerajaan Negeri Selangor bolehlah membuat pertimbangan terperinci antara keperluan pembangunan lebuhraya, jalanraya ataupun pembangunan pengangkutan awam.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.