Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017
181) LEBUHRAYA BARU DI NEGERI SELANGOR
Tahun: 2017
Sesi: 1
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bagi lebuhraya-lebuhraya yang diluluskan sejak tahun 2008, apakah syarat-syarat yang dikenakan oleh kerajaan negeri untuk memastikan keuntungan pihak konsesi tidak berlebihan?
Seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, dasar pembangunan berkualiti rakyat dipeduli akan tetap menjadi teras dalam setiap pembangunan di negeri Selangor. Kerajaan Negeri tidak pernah menolak sebarang pembangunan asalkan hasilnya dapat memberi keselesaan dan dapat dinikmati oleh rakyat. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan hanya mempertimbangkan permohonan bagi pelaksanaan mana-mana lebuhraya di Negeri Selangor dengan syarat-syarat seperti berikut:
- Kajian Impak Trafik (Traffic Impact Assesment – TIA) mestilah menguntungkan kepada pengguna lebuh raya dan juga penduduk sekitar dengan mengambil kira jajaran yang memberikan manfaat terbaik;
- Pendedahan kepada umum tentang kadar tol termasuklah cadangan kenaikannya dan juga kadar pulangan pelaburan (return of investement – ROI); dan
- Pendedahan kepada umum ke atas perjanjian
Maka, mana-mana pihak yang terlibat dalam apa jua bentuk pembangunan di Negeri Selangor mestilah mematuhi setiap proses dan prosedur yang ditetapkan oleh agensi-agensi teknikal seperti Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD), Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan seumpamanya. Pematuhan kepada syarat-syarat dan peraturan yang telah ditetapkan adalah sangat perlu supaya Kerajaan Negeri dapat mempertahankan rakyat daripada menerima masalah-masalah pencemaran, kesihatan, banjir, kemalangan dan sebagainya.
-
Adakah kerajaan negeri mensyaratkan had tempoh konsesi mengutip bayaran tol?
Pemantauan dan penetapan kadar tol yang dikutip oleh sesebuah projek lebuhraya adalah mengikut syarat-syarat yang termaktub di dalam perjanjian konsesi yang ditandatangani oleh Kerajaan Persekutuan diwakili oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dan ditadbir melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) selaku pihak berkuasa lebuhraya. Dalam konteks ini, Kerajaan Negeri tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mensyaratkan had tempoh konsesi mengutip bayaran
-
Adakah kerajaan negeri mengutip cukai pintu untuk lebuhraya?
Cukai Pintu atau Cukai Taksiran dikuatkuasakan mengikut peruntukan Seksyen 127, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171). Ia adalah cukai yang dikenakan ke atas harta tanah yang terletak di Kawasan Majlis dalam Negeri Selangor meliputi harta-harta berikut :
- Kediaman
- Perniagaan
- Perindustrian
- Tanah kosong
Dalam hal ini, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah mengenakan cukai taksiran bagi konsesi lebuhraya yang berada di kawasan pentadbiran bagi pegangan bangunan operasi dan kawasan rehat dan rawat (RNR).
Berikut adalah senarai PBT yang telah mengutip cukai taksiran daripada setiap konsesi lebuhraya:
PBT NAMA KONSESI LEBUHRAYA MBSA PLUS, GUTHRIE, LKSA, KESAS MBPJ PLUS MPK SHAHPADU MPSJ LITRAK, BESRAYA, KESAS, PLUS MPS LATAR MPKJ SAGA, PLUS, SILK, LEKAS MPSp MEX, SKVE, PLUS MDKS LATAR, GUTHRIE MDKL PLUS, SKVE