Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012

191) LEBUHRAYA BARU DAMANSARA SHAH ALAM (DASH)

Tahun: 2012

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohd Nasir Bin Hashim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri telah mengkaji kesan pembinaan ini kepada kawasan - kawasan perumahan , pengambilan tanah , perkampungan yang akan terbabit sepanjang laluan ini ?

    Kerajaan Negeri secara dasarnya telah menimbang dan bersetuju berhubung dengan pembinaan Lebuhraya DASH tersebut. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri telah mengarahkan supaya pihak JPBD menyelaraskan mesyuarat jawatankuasa teknikal bersama dengan agensi teknikal yang terlibat dalam pembinaan lebuhraya DASH berserta kajian kesan dari semua aspek. Selain daripada itu, semua PBT terlibat diarah untuk melaksanakan Town Hall Meeting untuk mendapatkan input dan maklumbalas daripada penduduk setempat.

  2. Sejauh manakah Kerajaan Negeri ada kuasa untuk mempengaruhi 'alignment' lebuh raya ini dan pelan pembangunannya ?

    Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa bagi mengubah laluan mahupun jajaran yang telah ditetapkan oleh pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bersama dengan pihak konsesi terbabit. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri telah mengutus surat kepada pihak LLM dan UKAS supaya sebarang bentuk pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam haruslah mengikut kepada kriteria dan prinsip yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.

    Kerajaan Negeri berpendirian seperti berikut :-

    1. Penswastaan hendaklah meletakkan keutamaan atau kepentingan rakyat Malaysia amnya dan Selangor kerana ia melibatkan cukai yang dibayar oleh rakyat;
    2. Kos hendaklah dibuat secara terbuka dan tidak diswastakan, apabila projek siap maka pulangan hasil (revenue) yang diswastakan (privatise the revenue, not the cost); dan
    3. Kos juga perlu mengambil kira international risk and return reward.

    Kerajaan Negeri juga telah mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan memberi penekanan dan mengambil langkah-langkah berikut :-

    1. Perjanjian yang adil (tidak berat sebelah) iaitu, tidak memihak hanya kepada pemegang konsesi;
    2. Meletakkan kepentingan awam sebagai keutamaan;
    3. Memasukkan ke dalam perjanjian klausa penamatan awal (early termination clause) iaitu sekiranya pemegang konsesi telah mencapai projected profit bagi projek ini lebih awal dari tempoh konsesi tamat, maka perjanjian hendaklah ditamatkan lebih awal setelah permohonan di bawah Seksyen 3 Akta Pengambilan Tanah dibuat;

    LLM atau konsesi berkaitan telah diminta memaklumkan kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negeri kawasan berkaitan mengenai cadangan lebuhraya terlebih dahulu sebelum dimaklumkan kepada penduduk setempat bagi memudahkan wakil rakyat tempatan menjawab sebarang pertanyaan atau bantahan dari rakyat sekiranya ada.

  3. Adakah Kerajaan Negeri setuju dengan pembinaan lebuh raya ini dari segi keperluannya ?

    Secara dasarnya melalui keputusan MMKN, Kerajaan Negeri telah bersetuju dengan pembinaan Lebuhraya Damansara Shah Alam (DASH) berkenaan. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri telah menyelaraskan supaya Jabatan Perancang pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengkaji dan meneliti dengan lebih terperinci berhubung dengan pembinaan lebuhraya ini dan jajaran-jajarannya untuk diselaraskan dengan Pelan Struktur Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.