Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017

93) LEBUH RAYA PANTAI BARAT (WCE)

Tahun: 2017

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan perkembangan terkini kerja-kerja pembinaan WCE.

    Kerajaan Negeri Selangor dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Bil. 30/2005 yang diadakan pada 30 November 2005 secara dasarnya telah menimbang dan bersetuju dengan pembinaan lebuhraya West Coast Expressway (WCE). Secara umumnya, setakat bulan Februari 2017, Kerajaan Negeri dimaklumkan bahawa peratus kemajuan pembinaan jajaran lebuhraya yang terlibat di negeri Selangor adalah sebanyak 30.19%.

    Kerja-kerja pembinaan telah dimulakan secara berperingkat bagi pembinaan WCE dan perkembangan terkini kerja-kerja pembinaan adalah seperti berikut:

    SEKSYEN KAWASAN KETERANGAN KERJA PERATUS
    1 Banting – South Klang

    Valley Expressway

    (SKVE)

    Kerja-kerja pembinaan telah dimulakan 2.54%
    2 SKVE – KESAS Kerja-kerja pembinaan belum bermula. Masih menunggu proses pengambilan tanah 0%
    3 KESAS – NKVE/FRH2 Kerja-kerja pembinaan telah dimulakan 7.18%
    4 NKVE/FRH2 – New

    North Klang Straits

    Kerja-kerja pembinaan telah dimulakan 62.92%
    SEKSYEN KAWASAN KETERANGAN KERJA PERATUS
      Bypass (NNKSB)    
    5 New North Klang Straits

    Bypass (NNKSB) –

    Kapar

    Kerja-kerja pembinaan telah dimulakan 39.13%
    6 Kapar – Assam Jawa Kerja-kerja pembinaan baru bermula 1.13%
    7 Assam Jawa – Tanjong

    Karang

    Dalam proses reka bentuk dan pengambilan tanah. Kerja pembinaan belum dimulakan. 0%
  2. Sila nyatakan butiran terkini jajaran WCE yang masih belum dimuktamadkan.

    Jajaran WCE yang masih belum dimuktamadkan adalah di Seksyen 7 iaitu Assam Jawa – Tanjong Karang di mana jajaran tersebut masih dalam proses untuk dimuktamadkan di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

  3. Sila nyatakan apakah langkah-langkah proaktif yang telah dilakukan bagi mengatasi masalah kacau ganggu terhadap rutin harian penduduk setempat.

    Bagi mengelakkan kacau ganggu terhadap rutin harian penduduk setempat, Kerajaan Negeri telah mengarahkan pemaju supaya melaksanakan tindakan tertentu. Tindakan-tindakan yang telah dilaksanakan oleh pemaju dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) adalah seperti berikut :

    1. Perlaksanaan projek lebuhraya adalah berpandukan kepada Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP), Pelan Keselamatan Projek (PSP), Pelan Kualiti Projek (PQP) dan Best Management Practise (BMP). Kesemua pelan ini telah dikaji dengan mengambil kira impak terhadap persekitaran termasuk sosio ekonomi penduduk setempat;
    2. Pelan Pengurusan Trafik (TMP) dilaksanakan bagi mengawal kesan kepada aliran trafik di kawasan jalanraya yang terlibat. Pelan tersebut disediakan oleh juru perunding professional dengan kerjasama Juru Perunding Trafik. Pelan tersebut seterusnya akan disemak oleh Juru Audit Keselamatan Jalanraya dan disahkan oleh Jurutera Perunding Bebas sebelum dikemukakan kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia untuk kelulusan;
    3. Penghadang dipasang di sepanjang kawasan pembinaan yang melibatkan jalan sedia ada untuk tujuan keselamatan kepada orang ramai; dan
    4. Pemantauan berkala dilaksanakan oleh Juru Perunding Bebas terhadap kesan bunyi bising, kualiti udara dan kualiti air yang dijalankan setiap bulan bagi mengawasi kesan kerja pembinaan kepada alam sekitar. Laporan pemantauan akan dikemukakan kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar. Tindakan yang sewajarnya akan diambil sekiranya kesan tersebut melebihi tahap yang dibenarkan oleh Jabatan Alam Sekitar.

Lampiran

Tiada Lampiran.