Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

291) LAWATAN KERJA RASMI KERAJAAN NEGERI KE JERMAN

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Dato' Harrison Bin Hassan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Susulan lawatan kerja rasmi Kerajaan Negeri ke Jerman bermula 19 April 2024, apakah butiran kejayaan ekonomi yang telah diraih termasuk Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang dibawa masuk ke Negeri Selangor hasil daripada lawatan ini?

    Lawatan kerja rasmi Kerajaan Negeri ke Jerman bermula 19 April 2024 adalah anjuran Jawatankuasa Tetap Pendidikan dan Modal Insan Negeri Selangor yang diurusetiakan oleh Selangor Technical Skills Development Centre (STDC). Antara objektif yang dicapai dalam lawatan ke Jerman ini adalah seperti berikut;-

    • Menjalinkan hubungan kerjasama dua-hala antara pelopor teknologi antarabangsa dan Jabatan, Agensi dan anak Syarikat di bawah Kerajaan Negeri Selangor dalam pembangunan modul-modul TVET dan teknologi aplikasi berkaitan;

     

    • Memeterai tiga (3) Memorandum Persefahaman dengan syarikat antarabangsa yang bakal bekerjasama bagi program Kerjasama STDC dengan Industri Antarabangsa di German; dan

     

    • Jabatan, Agensi dan anak Syarikat dapat menyediakan laporan kajian penanda aras teknologi kepada Kerajaan Negeri berhubung tahap kebolehpasaran/adaptasi teknologi oleh Jabatan, Agensi dan anak Syarikat berdasarkan situasi semasa.

     

    Secara dasarnya, penglibatan Invest Selangor dalam lawatan ini adalah untuk menyertai sesi forum dalam Ekspo Antarabangsa Hannover Messi 2024 yang diadakan. Antara tujuan penglibatan Invest Selangor dalam forum ini adalah untuk;-

    • Meneroka pelbagai industri berkaitan teknologi seperti pembuatan dan automasi, solusi tenaga dan sebagainya di Eropah dan mengenal pasti pelabur yang berpotensi untuk melabur di Asia Tenggara khususnya di Selangor;

     

    • Mengkaji kebolehlaksanaan penganjuran acara Hannover Messe sebagai salah satu komponen di dalam ‘Selangor International Business Summit’ pada edisi akan datang; dan

     

    • Mempromosikan acara SPARK 2024 kepada para pelabur dan syarikat-syarikat yang mempunyai minat untuk menyertai acara tersebut sebagai pempamer

     

    Antara hasil dan potensi yang diperolehi melalui penyertaan Invest Selangor selaku wakil pihak Kerajaan Negeri dalam program Ekspo Antarabangsa Hannover Messi 2024 ini, antaranya seperti berikut;-

     

    • Kerajaan Negeri Selangor melalui Invest Selangor telah diberikan ruang dan peluang untuk mempromosikan Selangor sebagai lokasi ideal bagi para pelabur dalam bidang teknologi tinggi. Platfom yang diberikan telah dimanfaatkan sepenuhnya dengan menerangkan kekuatan serta kesediaan Selangor dari pelbagai sudut seperti infrastruktur, tenaga kerja dan sebagainya untuk memenuhi kriteria para pelabur.

     

    • Berdasarkan pertemuan bersama syarikat Brainport Industries, pihak syarikat menyatakan hasrat untuk meneroka peluang bagi membangunkan Brainport Industries Campus (BIC) di Asia Tenggara. BIC adalah sebuah taman industri berteraskan inovasi yang direka untuk menggalakkan kerjasama dan inovasi di kalangan syarikat pembuatan teknologi tinggi dan institusi penyelidikan.

     

    • Berdasarkan program pertemuan dan perbincangan bersama Kementerian Perindustrian Indonesia dan Pembangun Taman Industri Indonesia, Invest Selangor berpeluang untuk mempromosikan acara SPARK 2024, sebuah acara yang menjadi titik pertemuan di antara para pelabur dari dalam dan luar negara dengan agensi-agensi berkaitan pelaburan, pembangun taman industri serta syarikat pembekal solusi dari rantau Asia Tenggara.

     

    • Pertemuan dan perbincangan bersama syarikat Schneider Electric. Schneider Electric merupakan antara syarikat terkemuka dunia yang membekalkan solusi kepada pelbagai industri seperti pusat data, logistik, pergudangan, penyimpanan tenaga dan sebagainya. Selangor merupakan hab kepada industri-industri yang disebutkan yang menjadikan ia lokasi yang sesuai bagi pengembangan perniagaan Schneider Electric pada masa hadapan. Selain itu, turut dibincangkan bersama adalah mengenai latihan penggunaan ‘PLC’ dan pensijilan bagi peningkatan kemahiran tenaga kerja di Selangor. Pihak syarikat juga menyentuh berkenaan potensi pengembangan perniagaan ke Selangor dengan membuka kilang pembuatan bagi menumpukan pasaran di Asia.

     

    • Sesi networking bersama Baden-Wurttemberg. sesi ini adalah untuk meneroka peluang dan kerjasama strategik bersama agensi-agensi berkaitan pelaburan dalam usaha untuk mempromosikan Selangor sebagai lokasi pelaburan ideal di rantau Asia Tenggara. Sesi ini juga memberi peluang untuk Invest Selangor mempromosikan acara SPARK yang merupakan pusat sehenti bagi pelabur yang ingin meneroka peluang pelaburan di rantau Asia Tenggara.

     

    • Pihak Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor juga turut menyertai Forum “Sustainable Site Selection: Balancing Availability and Environmental Impact in European Investment Projects”. Forum ini membincangkan aspek kemampanan dari sudut pembangunan taman industri. Menyedari kepentingan alam sekitar serta pembangunan ekonomi yang saling berlawanan, adalah amat penting bagi agensi kerajaan untuk mencari titik tengah untuk mengimbangi keperluan kedua-duanya untuk kesejahteraan serta kelestarian di peringkat negara secara amnya dan di peringkat negeri secara khususnya.

     

    • Pertemuan dan perbincangan bersama syarikat Rexroth yang merupakan anak syarikat Bosch. Syarikat Rexroth adalah salah sebuah syarikat yang dicalonkan dalam HERMES Award, sebuah anugerah yang mengiktiraf syarikat terlibat dalam inovasi khususnya bidang teknologi dan dianggap sebagai salah satu anugerah yang paling berprestij di peringkat dunia. Antara perkara yang dibincangkan adalah berkenaan program latihan dan pensijilan bagi untuk meningkatkan keupayaan serta kemahiran tenaga kerja di Selangor. Ia juga amat penting dari sudut pengiktirafan kebolehan tenaga kerja sedia ada seterusnya memberi nilai tambah kepada Selangor untuk menarik para pelabur. Syarikat Rexroth juga turut berkongsi berkenaan potensi mengembangkan perniagaan serta membangunkan kilang pembuatan di Selangor.

     

    • Invest Selangor berkesempatan untuk mengadakan perbincangan bersama pihak penganjur Hannover Messe. Antara topik yang diketengahkan adalah kerjasama dalam penganjuran acara berkonsepkan Hannover Messe di Selangor, sempena acara tahunan Selangor International Business Summit. Wakil penganjur Hannover Messe berkongsi tentang prosedur yang terlibat untuk penganjuran bersama serta anggaran kos yang terlibat. Beberapa cadangan telah dikemukakan dan perlu dipertimbangkan dengan lebih teliti bagi memastikan kebolehlaksanaan dan objektif penganjuran dapat dicapai.
  2. Sektor manakah yang menerima manfaat terbesar daripada lawatan ini?

    Berdasarkan objektif lawatan ke Jerman diadakan sektor pendidikan dan latihan antara sektor yang menerima manfaat terbesar daripada lawatan ini dimana sebanyak tiga (3) Perjanjian Persefahaman (MOU) telah dimetrai antara Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) dengan beberapa syarikat antarabangsa di Jerman seperti Festo, KNX dan Siemens Mendix. Semua MoU yang ditandatangani sepanjang program berlangsung adalah melibatkan pewujudan modul pembelajaran yang bersesuaian, pengkongsian strategik tenaga pakar professional, liputan kepada pelajar dan mewujudkan program-program akademik yang relevan dengan keperluan industri bagi melahirkan tenaga kerja mahir dan berkelayakan dalam bidang kemahiran TVET dan professional. Hasil penglibatan pihak Kerajaan Negeri dalam Ekspo Hannover Messi 2024, Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor akan merangka jaringan kerjasama yang lebih baik bersama setiap jabatan dan agensi bagi mewujudkan ekosistem Pendidikan terbaik dalam melahirkan bakat yang berkualiti.

    Selain itu, melalui program pertemuan antara Invest Selangor bersama syarikat – syarikat atau pelabur di Jerman, terdapat juga beberapa cadangan projek pelaburan yang berpotensi untuk pihak Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor mengadakan perbincangan susulan dengan lebih lanjut untuk meneroka potensi pelaburan syarikat – syarikat tersebut di Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.