Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019
01 November 2019 hingga 13 November 2019
285) LAWATAN KERAJAAN NEGERI KE LUAR NEGARA
Tahun: 2019
Sesi: 3
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Datuk Rizam Bin Ismail
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri menggalakkan delegasi mewakili Kerajaan Negeri melawat ke luar negara?
Secara dasarnya Kerajaan Negeri tiada halangan kepada mana – mana delegasi mewakili Kerajaan Negeri melawat ke luar negara atas urusan rasmi.
-
Nyatakan jumlah kos yang dibelanjakan bagi tahun 2018 - tahun 2019 untuk urusan menarik pelaburan ke Negeri Selangor?
Jumlah kos yang dibelanjakan bagi tahun 2018 – tahun 2019 untuk urusan menarik pelaburan ke Negeri Selangor adalah sebanyak RM 33,085,545.73 (RM 33.09 juta) yang mana kos ini merangkumi pelbagai program seperti misi penggalakkan pelaburan ke luar Negara, sesi dialog, libat urus (engagement), penganjuran dan penyertaan pameran dalam dan luar negara serta penerbitan bahan promosi.
-
Nyatakan jumlah pelaburan yang berjaya dibawa masuk hasil lawatan tersebut?
Berdasarkan program – program promosi penggalakkan yang dilaksanakan, pihak Invest Selangor telah menerima sebanyak 36 cadangan projek pelaburan dengan nilai potensi pelaburan berjumlah RM 12 bilion bagi tahun 2018 dan sebanyak 29 cadangan projek dengan nilai potensi pelaburan sebanyak RM 14.8 bilion bagi tempoh Januari hingga September 2019.
Namun begitu, pada tahun 2018, sebanyak 241 projek perkilangan dengan nilai pelaburan berjumlah RM 18.95 bilion telah diluluskan untuk ditempatkan di Negeri Selangor. Manakala bagi tempoh Januari hingga Jun 2019, sebanyak 132 projek perkilangan dengan nilai pelaburan berjumlah RM 5.97 bilion telah diluluskan.
Secara kesimpulannya, Kerajaan Negeri menerusi Invest Selangor telah membelanjakan sebanyak hanya 0.13% dari hasil pelaburan yang telah diluluskan bagi tahun 2018 hingga Jun 2019 yang berjumlah RM 24.92 bilion.