Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

235) LATIHAN PESAWAH MODEN

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Tuan Sallehen Bin Mukhyi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah kerajaan akan melaksanakan libat urus pesawah dalam menangani masalah dan membina kemahiran pertanian moden?

    Kerajaan sentiasa melaksanakan libat urus pesawah termasuk perjumpaan di lapangan dalam menangani masalah dan membina kemahiran pertanian moden melalui perlaksanaan program khidmat pengembangan di bawah IADABLS dan Jabatan Pertanian merangkumi kursus/latihan jangka pendek dan panjang seperti taklimat, program penggunaan dron untuk aktiviti persawahan kepada petani, program Farmer’s Free School (FFS), karnival padi, kalibrasi racun dan sebagainya.

    Bagi membina kemahiran pertanian moden, terdapat beberapa teknologi yang telah dibangunkan di lapangan. Aplikasi penggunaan jentera moden seperti dron, LCC (Leaf Color Chart) atau Carta Warna Daun Padi dan IOT giat dilaksanakan di lapangan. Selain itu, penggunaan Sistem Maklumat Geospatial Tanaman Padi (Makgeo) juga digunakan secara aktif.

    Penggunaan dron sangat meluas di Selangor kerana keupayaannnya untuk membantu aktiviti pembajaan dan meracun secara bersepadu dan lebih cekap berbanding kaedah secara konvensional (fizikal) .

    Aplikasi LCC Padi diperkenalkan dan dicipta bagi memudahkan pesawah dan pegawai di lapangan mendapatkan data status nitrogen daun padi serta mengetahui tahap keperluan baja dan membantu petani mengurangkan penggunaan baja nitrogen berpandukan status semasa nitrogen pada daun. Aplikasi LCC Padi ini adalah percuma dan dilengkapi dengan dwibahasa dan boleh dimuat turun melalui Google Play Store.

    Antara IOT yang sedang dilari uji (test run) dan dipantau di kawasan padi khususnya di Sawah Sempadan, Sekinchan dan Sungai Besar adalah kerjasama antara Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan syarikat swasta seperti REDTone. Teknologi ini berteraskan Pertanian Pintar untuk merevolusikan amalan pertanian persis.

    Sistem Pengurusan Tanaman Padi (Makgeo) dibangunkan dengan kerjasama Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Jabatan Pertanian (DOA), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM). Sistem ini dibangunkan menggunakan integrasi teknologi remote sensing, Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Pengoperasian sistem telah dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun 2012.

    Melalui sistem ini, imej satelit terkini beresolusi tinggi digunakan untuk mengenal pasti keluasan sebenar kawasan bertanam padi dan status pelaksanaan penanaman padi di seluruh jelapang secara menyeluruh, berkala, real-time dan berketepatan tinggi. Imej satelit ini diintegrasikan dengan maklumat sempadan pentadbiran, skim pengairan, maklumat pesawah dan lot sawah dalam satu pangkalan data bagi membolehkan agensi pertanian mengurus dan memantau jelapang padi dengan lebih mudah, tepat dan cepat. Setakat hari ini, penggunaannya hanya di peringkat pegawai-pegawai di agensi dan akan diperluas kepada pesawah-pesawah.

    Walaubagaimanapun, bagi membina kemahiran pertanian moden, semua teknologi yang ada di lapangan memerlukan masa untuk diadaptasi secara cekap serta memerlukan komitmen dan ketersediaan daripada pesawah.

  2. Apakah strategi kerajaan bagi tempoh 3 tahun akan datang bagi memastikan pesawah-pesawah mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang tinggi sekaligus mampu meningkatkan hasil padi mereka?

    Strategi Kerajaan bagi mempastikan pesawah-pesawah mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang tinggi sekaligus mampu meningkatkan hasil padi mereka melalui:-

    1. Latihan kepada golongan belia melalui kursus/latihan jangka pendek dan panjang seperti latihan penggunaan dron, teknologi internet of things (IOT), pengurusan perosak dan penyakit padi, teknologi pembajaan dan pengurusan kesuburan tanah dan sebagainya
    2. Menggalakkan semua pesawah menyertai Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) sebagai contoh kerjasama dengan syarikat peneraju seperti;
      – Felda Global Ventures (FGV)
      – Hartamas Sentosa
      – Serba Wangi
      – BERNAS
      – PLS Sdn. Bhd.
    3. Program peningkatan produktiviti dengan membangunkan industri benih yang rintang penyakit
    4. Pembangunan Infrastruktur
    5. Penyediaan insentif bagi menarik golongan belia seperti dron, jentuai dan transplanter
    6. Pelaksanaan program Soil Profiling bagi membantu mengatasi masalah kesuburan tanah.

    Siasatan tanah (Soil Profiling) lengkap telah dilaksanakan untuk pemetaan tahap kesuburan tanah di seluruh kawasan IADA Barat Laut Selangor. Daripada siasatan yang telah dijalankan, taburan jenis tanah di IADA Barat Laut Selangor terdiri daripada Lanar Laut Bukan Berasid Sulfat memenuhi keseluruhan keluasan siasatan kawasan (100%) iaitu 2,606.64 ha di Sawah Sempadan,  3,072.34 ha di Sg. Burong, 1,381 ha di Sekinchan, 2,176.73 ha di Sungai Nipah dan 6,808 ha di Sungai Besar. Tanah Lanar Laut Bukan Berasid Sulfat (tiada lapisan masam di lingkungan 100 cm kedalaman). Manakala sebanyak 1,786 ha (98.74%) di Pasir Panjang Lanar Laut Bukan Berasid Sulfat dan 22.49 ha (1.26%) Lanar Laut Berasid Sulfat.

Lampiran

Tiada Lampiran.