Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010

121) LATIHAN ESQ LEADERSHIP

Tahun: 2010

Sesi: 3

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Tuan Dr Shafie Bin Abu Bakar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Pihak Mufti Wilayah Persekutuan memfatwakan ESQ (Emotional, Spritual & Q) sebagai menyeleweng (di gazet pada 13 Jun 2010). Apakah pendirian kerajaan negeri Selangor terhadap ESQ?

    Setelah Fatwa Mufti Wilayah Persekutuan mengumumkan bahawa Latihan ESQ adalah menyeleweng, pihak Kerajaan Negeri telah membekukan penganjuran latihan tersebut.

  2. Adakah setakat ini ESQ beroperasi di negeri Selangor?

    Pihak kerajaan negeri telah pun memohon pandangan Jabatan Mufti Negeri Selangor berhubung perkara ini. Maka di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 3/2010 yang bersidang pada 21 September 2010 perkara ini telah dibincangkan..

    Hasil dari perbincangan tersebut, Jawatankuasa Fatwa telah membuat keputusan seperti berikut :

    1. Bahawa kebanyakan unsur-unsur keraguan yang terkandung di dalam buku edisi lama dan dalam kursus yang dikendalikan boleh diperbetul dan diperjelaskan.
    2. Pihak ESQ hendaklah membuat perubahan dan memperbetulkan dengan segera fakta-fakta, kenyataan atau apa jua aktiviti / perlakuan sama ada dalam buku keluaran ESQ ataupun semasa mengendalikan kursus yang boleh menimbulkan keraguan.
    3. Buku-buku edisi lama, artikel-artikel dan lain-lain yang telah disebarkan kepada peserta-peserta kursus, atau dipamerkan di kedai-kedai dan di manamana sahaja ianya disebarkan hendaklah ditarik balik dan dibatalkan dengan kenyataan dan hendaklah digantikan dengan buku ESQ edisi baru yang telah dibetulkan segala keraguan dikeluarkan dengan kadar segera.
    4. Pihak Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bertanggungjawab memantau sepenuhnya pembetulan dan pindaan yang dibuat oleh Panel Syariah ESQ dan memantau perjalanan kursus yang diadakan dalam Negeri Selangor dari semasa ke semasa.
    5. Mesyuarat juga memutuskan bahawa tiada halangan bagi mana-mana badan atau agensi di Negeri Selangor mengikuti kursus ESQ Leadership Training setelah para (ii) dan (iii) di atas diambil tindakan oleh pihak ESQ.
  3. Adakah sebarang tindakan yang diambil terhadap ESQ?

    Sehubungan itu, pihak kerajaan negeri kini sedang menunggu pindaan yang akan dilakukan oleh pihak ESQ berhubung perkara di para ii dan iii.

Lampiran

Tiada Lampiran.