Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015
214) LAPORAN SALAHLAKU PENJAWAT AWAM
Tahun: 2015
Sesi: 1
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan carta alir jika terdapat aduan atau laporan salah laku terhadap manamana penjawat awam dalam negeri?
Sebarang aduan berhubung salah laku penjawat awam yang diterima sama ada dalam bentuk surat, e-mel, telefon atau secara bersemuka akan didaftarkan di dalam borang aduan terlebih dahulu. Seterusnya aduan tersebut akan diteliti dan sekiranya ia berasas, siasatan lanjut iaitu pengesanan dan pengesahan akan dilaksanakan terhadap aduan tersebut. Tindakan selanjutnya adalah berdasarkan kepada hasil siasatan di mana jika didapati terdapat kemungkinan atau bukti berlakunya kesalahan jenayah, ia akan dikemukakan untuk tindakan pihak penguat kuasa iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM). Sekiranya ia melibatkan kesalahan tata kelakuan penjawat awam, ia akan dirujuk kepada Lembaga Tatatertib yang berkenaan. Jika didapati tiada sebarang kesalahan yang dilakukan, kes tersebut akan ditutup.
-
Berapakah penjawat awam yang telah dikenakan tindakan disiplin dan kesalahan yang dilakukan sejak 2008 sehingga kini?
Statistik menunjukkan bahawa sejak 2008 sehingga 2014, seramai 794 orang penjawat awam di bawah Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor telah dikenakan hukuman/tindakan tatatertib. Daripada jumlah berkenaan, seramai 256 orang telah dikenakan hukuman buang kerja/ditamatkan perkhidmatan, 4 orang dikenakan tindakan surcaj, 7 orang diturunkan pangkat, 82 orang diturunkan gaji, 108 orang ditangguhkan pergerakan gaji,135 orang dilucutkan hak emolumen, 62 orang dikenakan denda dan 382 telah diberi amaran.
Di antara kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh penjawat awam ini termasuklah tidak hadir bertugas tanpa kebenaran, terlibat dalam kes dadah, kes rasuah, kes mahkamah, gangguan seksual, membuat pekerjaan luar tanpa memohon kebenaran daripada Ketua Jabatan, menyalahguna kedudukan rasmi untuk kepentingan peribadi serta lain-lain kes pelanggaran tatakelakuan seperti tidak jujur dan tidak amanah, tidak bertanggungjawab, ingkar perintah dan cuai dalam melaksanakan tugas.