Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014

122) LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA TAHUN 2012 (NEGERI SELANGOR, SIRI 3) – MARRIS

Tahun: 2014

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Puan Yeo Bee Yin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Pihak audit mendapati bahawa Kerajaan Negeri telah menerima RM1.14 bilion wang MARRIS tetapi hanya membelanja RM620.24 juta. Mengapakah Kerajaan Negeri tidak boleh menggunakan pemberian ini dengan sepenuhnya?

    Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri di bawah peruntukan Perkara 109(1)(b), Perlembagaan Persekutuan adalah bertujuan untuk membantu Kerajaan Negeri menyenggara jalan-jalan Negeri di negeri masing-masing.

    Isu menggunakan pemberian ini dengan sepenuhnya sentiasa menjadi matlamat Kerajaan Negeri, namun Pemberian oleh Kerajaan Persekutuan ini hendaklah diurus dengan baik dan cekap serta mematuhi Garis Panduan Penyenggaraan Jalan Negeri bagi memastikan ia digunakan sepenuhnya untuk senggaraan jalan sahaja.

    Kumpulan Wang Amanah Penyenggaraan Jalan Negeri di bawah Seksyen 10 Akta Tatacara Kewangan 1957 (Semakan 1972)(Akta 61) telah ditubuhkan pada 15 Januari 2013 seperti yang telah diarahkan oleh Kerajaan Persekutuan iaitu Kementerian Kewangan. Satu Jawatankuasa Pentadbir Kumpulan Wang diwujudkan untuk mengurus pemberian Kerajaan Persekutuan ini. Di antara fungsi Jawatankuasa ini adalah untuk memastikan bahawa Kumpulan Wang ini berbaki kredit dan tidak terlebih dikeluarkan semasa meluluskan Anggaran Perbelanjaan.

    Aspek jumlah peruntukan yang meningkat saban tahun juga banyak dipengaruhi oleh kadar pengiraan jumlah pemberian oleh Kementerian Kerja Raya. Kadar pengiraan berbeza untuk setiap negeri dan dinamik iaitu mengikut kadar pasaran pada tahun semasa. Aspek perolehan melalui tender terbuka yang menjadi amalan Kerajaan Negeri telah banyak memberikan penjimatan kepada jumlah perbelanjaan pemberian ini.Agensi Pelaksana juga akan menggunakan baki penjimatan sediada secara optimum berdasarkan skop di bawah Kumpulan Wang Penyenggaraan Jalan Negeri.

  2. Apakah sekatannya (bottleneck)?

    Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri di bawah peruntukan Perkara 109(1)(b), Perlembagaan Persekutuan adalah bertujuan untuk membantu Kerajaan Negeri menyenggara jalan-jalan Negeri di negeri masing-masing.

    Peruntukan yang diterima dari Kerajaan Persekutuan ini hanya boleh dibelanjakan bagi tujuan aktiviti penyenggaraan jalan yang memenuhi syarat-syarat Garis Panduan Penyenggaraan Jalan Negeri sahaja. Skop Penyenggaraan Jalan Negeri adalah seperti berikut:-

    1. Penyenggaraan Rutin (Berjadual); ii. Penyenggaraan Berkala; iii.          Penyenggaraan Kecemasan; dan iv. Penyenggaraan Pencegahan (Preventive).

    Kerajaan Negeri mempunyai halangan bagi tujuan melebarkan jalan dan menaiktaraf jalan kerana ianya tidak selaras dengan maksud pemberian ini kerana peruntukan tertumpu kepada penyenggaraan. Penyenggaraan jalan dilaksanakan berdasarkan tempoh hayat jalan tersebut yang telah melebihi 7.5 tahun seperti perincian berikut:-

    Namun mengikut para  7.2 mukasurat 15 garis panduan telah memberi kelonggaran bagi perkara berikut:

    • perbelanjaan pengurusan berkaitan dengan penyenggaraan jalan dengan had tidak melebihi 5% daripada jumlah perbelanjaan sebenar penyenggaraan jalan tahun sebelumnya atau RM5juta, mana yang lebih rendah; dan
    • membiayai penyenggaraan jalan yang tidak mencapai piawaian minimum JKR dan tidak didaftar di dalam sistem MARRIS Online dengan had tidak melebihi 5%daripada jumlah perbelanjaan sebenar penyenggaraan jalan tahun sebelumnya atau RM5juta , mana yang lebih rendah.

    Pelaksanaan juga akan diselaraskan bergantung kepada keupayaan peringkat Jabatan/Agensi Pelaksana dalam melaksanakan perolehan dan kerja fizikal di tapak.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.