Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

12) LANGKAH PEMELIHARAAN PERMATANG KUARZA GOMBAK

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah semasa yang diambil oleh kerajaan bagi memelihara kawasan Permatang Kuarza, Gombak dan melindungi persekitarannya sementara proses pengiktirafan UNESCO diperolehi?

    Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,

    Pihak Berkuasa Negeri telah melantik Pasukan Perunding Pakar untuk menyediakan Kajian Dossier Permatang Kuarza Gombak Selangor (PKGS) yang terdiri daripada tiga (3) orang pakar iaitu :

    1. YBhg. Datin Paduka Prof. Emiretus Siti Zuraina Binti Abdul Majid (Pakar Arkeologi, Warisan dan Budaya Dunia)
    2. YBhg. Prof. Emiretus Dato’ Dr. Abdul Latif Bin Muhammad (Pakar Biodiversiti, Warisan Alam Semula Jadi Dunia); dan
    3. YBhg. Prof. Dr. Mohd Shafeea Bin Leman (Pakar Geodiversiti, Warisan Alam Semula Jadi Dunia)

     

    Hasil penemuan kajian Dossier PKGS mendapati:

    1. Nilai estetik PKGS adalah tidak terlalu luar biasa (superlative) jika dibandingkan dengan tapak-tapak lain.
    2. Kajian saintifik, penyelidikan, penerbitan dan sumber rujukan serta maklumat khusus berkenaan kuarza di PKGS masih terlalu terhad.
    3. Integriti sesuatu tapak yang dicalokan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO perlu berada ditahap tertinggi dan ini amat berkaitan dengan isu pengurusan dan pemuliharaan tapak bagi mengekalkan keaslian kawasan PKGS.
    4. Terdapat perubahan kepada keperluan pencalonan di mana sesebuah tapak yang ingin dicalonkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO perlu menguatkuasakan Conservation Management Plan (CMP) terlebih dahulu sekurang-kurangnya dua (2) tahun.

     

    Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Laporan Draf Akhir Dossier PKGS Teknikal bertarikh 12 Disember 2018 memutuskan tapak PKGS masih belum bersedia untuk dicalonkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Walau bagaimanapun, Pasukan Perunding Pakar mendapati PKGS sangat berpotensi sebagai salah satu komponen geosites dalam pembentukan tapak geopark khususnya di Selangor. Tapak geopark ini akan dicadangkan sebagai Tapak Geopark Kebangsaan terlebih dahulu sebelum diangkat sebagai Tapak Geopark Global UNESCO (Pengiktirafan Geopark Global UNESCO adalah kedua tertinggi selepas Tapak Warisan Dunia UNESCO).

    Untuk makluman Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,

    Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) yang bersidang pada 21 Februari 2019 telah bersetuju dengan cadangan PKGS sebagai sebahagian Tapak Geopark Kebangsaan. Geopark didefinisikan sebagai satu kawasan dengan keluasan bersesuaian, mempunyai sempadan yang jelas dan mengandungi beberapa tapak warisan geologi berkepentingan kebangsaan, serantau atau antarabangsa yang dibangunkan secara lestari. Ianya adalah untuk meningkatkan tahap ekonomi dan nilai budaya penduduk terutamanya menerusi aktiviti pelancongan. Konsep pembangunan geopark memberikan perhatian kepada keseimbangan tiga (3) aspek utama iaitu kepentingan pemuliharaan sumber asli (khususnya sumber geowarisan), pembangunan infrastruktur untuk pelancongan dan aktiviti sosio-ekonomi yang menguntungkan masyarakat setempat. Berikut merupakan potensi sosio-ekonomi kepada penduduk setempat:

    1. Memperkenalkan produk pelancongan baharu (geo-pelancongan)
    2. Membuka lebih banyak peluang pekerjaan
    3. Memasarkan serta mengetengahkan tarikan baru yang berpotensi
    4. Mampu menarik pesaran pelancong, saintis, ahli geologi, pelajar dan pengkaji pelbagai bidang dari seluruh dunia.
    5. Menjadikan tapak PKGS lebih terkenal dan membuka ruang pertukaran maklumat dan kerjasama dalam kalangan geopark dunia di negara-negara lain.

Lampiran

Tiada Lampiran.