Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015

116) LANGKAH-LANGKAH KERAJAAN NEGERI MEMBANTU RAKYAT MENGHADAPI EKONOMI

Tahun: 2015

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Khairuddin Bin Othman

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah strategi Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat dalam negeri ini menghadapi kemelesetan ekonomi?

    Punca utama kenaikan sara hidup antaranya adalah disumbangkan oleh beberapa tindakan dan polisi yang diterajui oleh Kerajaan Persekutuan. Pengenalan GST, kenaikan harga petrol dan diesel, kenaikan tambang LRT dan yang terkini harga tol yang dinaikkan tanpa belas kasihan menambahkan parah kenaikan kos sara hidup rakyat jelata. Menyedari himpitan hidup kepada rakyat, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah- langkah seperti berikut :

    i)  Memperkasa Pelbagai Program Bantuan Perniagaan Bagi Membantu Usahawan Baru dan Melonjakkan Usahawan Sedia Ada Ke Tahap Yang Lebih Tinggi

    Kerajaan telah melaksanakan Program Hijrah. Kedua-dua program ini telah disepadukan untuk melonjakkan lagi golongan miskin ini berhijrah kepada golongan berpendapatan kelas menengah. Peruntukan ditambah daripada RM70 juta pada tahun 2014 kepada RM100 juta pada tahun 2015 diharap mampu merealisasikan hasrat Kerajaan. Sehingga 30 September 2015, sebanyak 11,114 orang telah mendapat manfaat melalui Program Hijrah dengan jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan sebanyak RM58,358,000.00.

    Kerajaan terus memperkasa insentif kepada usahawan muda dengan meningkatkan bantuan daripada RM10,000 kepada RM30,000 bagi setiap permohonan di bawah dana Usahawan Mikro Selangor. Program ini pada asalnya dikenali sebagai Dana Industri Kampung telah ditransformasikan sebagai galakan kepada usahawan muda meningkatkan produktiviti dan pasaran produk yang seterusnya dapat mentransformasikan taraf hidup dan pendapatan golongan ini ke tahap yang lebih tinggi.

    ii) Meningkatkan Keupayaan Rakyat Selangor Kepada Pekerja Berkemahiran Tinggi (skilled worker) melalui Pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)

    Kerajaan Negeri merangka strategi bagi mengurangkan jurang pendapatan kaya dan miskin dengan mewujudkan generasi muda berkemahiran tinggi (skilled workers) yang akan mendapat gaji atau upahan berdasarkan kemahiran yang dimiliki oleh rakyat di Negeri Selangor. Kemahiran- kemahiran yang diperlukan adalah seperti industri minyak & gas, semikonduktor, elektrik & elektronik dan pembangunan bidang teknologi maklumat & komunikasi (ICT), advance robotic, big data dan perkakasan.

    Ke arah mencapai hasrat mewujudkan generasi berkemahiran tinggi, fokus Kerajaan adalah untuk terus memperkasa industri pembuatan supaya dapat mencipta lebih banyak lagi peluang pekerjaan dan kelayakan berasaskan TVET. Selaras dengan itu, Kerajaan akan terus mempertingkatkan tenaga mahir dalam bidang TVET di Negeri Selangor untuk mengisi peluang-peluang di sektor ini melalui program latihan di bawah Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC). Program ini merupakan kolaborasi Kerajaan dan pemain industri secara pemadanan penawaran dengan permintaan industri bagi memastikan bidang yang ditawarkan adalah bertepatan dengan kehendak pasaran. Kolaborasi ini akan diwujudkan di daripada pengambilan pelajar, rekabentuk kokurikulum dan penempatan pekerjaan. Program TVET ini akan dijadikan satu bentuk program inovatif supaya dapat menarik generasi muda mengakses program tersebut.

    Selain itu, Kerajaan turut menyediakan peluang untuk melanjutkan pengajian melalui penajaan pendidikan/ latihan Program Kemahiran Teknikal melalui INPENS International College. Program Kemahiran Teknikal ini merupakan salah satu program bantuan secara tahunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri melalui INPENS International College sejak tahun 2008. Ianya bertujuan bagi memberi peluang kepada golongan generasi muda yang tercicir di dalam pelajaran serta daripada keluarga yang berpendapatan seisi rumah sebulan sebanyak RM3,000.00 dan ke bawah untuk melanjutkan pengajian di dalam Sijil Kemahiran Malaysia (SKM). Antara kursus-kursus kemahiran di INPENS International College yang diberikan penajaan oleh Kerajaan Negeri adalah seperti Servis & Penyelenggaraan Motorsikal, Pemasangan & Penyelenggaraan Elektrik- Satu Fasa, Peralatan Penyamanan Udara HVAC – Satu Fasa (Pemasangan Servis, Troubleshooting & Pembaikpulihan) dan Pembuat Pakaian Wanita, Dandanan Rambut.

    Sehingga September 2015, Program Kemahiran Teknikal melalui INPENS International College ini telah memberi manfaat kepada seramai 2,807 orang dan jumlah ini adalah dijangka meningkat dari tahun ke tahun. Melalui program ini Kerajaan mensasarkan supaya golongan ini mampu mengorak langkah menggunakan kemahiran yang telah diperolehi untuk turut sama dalam pasaran industri dan meningkatkan diri dengan menceburi bidang keusahawanan.

    iii) Meningkatkan Sumbangan Bantuan Pendidikan Bagi Memperkasa Generasi Muda Selangor (2nd Generation)

    Ke arah membantu meringankan beban ketua isi rumah, Kerajaan akan meneruskan program-program seperti Pusat Tuisyen Rakyat dan Skim Bantuan Asuhan Rakyat (Si Kembar), Skim Bantuan Tadika (TUNAS). Sokongan bantuan pendidikan awal daripada Kerajaan seperti ini adalah bertepatan dengan hasrat Kerajaan bagi mengukuhkan pengetahuan dan menyediakan generasi muda sejak dari pendidikan awal lagi dan membantu ibu bapa menangani kos pendidikan anak-anak.

    Tabung Pendidikan Pekerja Ladang merupakan salah satu insentif yang diberikan Kerajaan supaya generasi baru pekerja ladang mampu melonjakkan diri melalui pengukuhan pengetahuan dan kemahiran supaya dapat keluar dari kepompong kemiskinan. Sehingga 30 September 2015, 15,686 orang telah menerima manfaat daripada program ini dengan jumlah peruntukan sebanyak RM8,712,645.20.

    Di bawah Tabung ini juga, Kerajaan telah memperuntukkan pemberian wang tunai sebanyak RM300 sebagai Sumbangan Bantuan Subsidi Tambang Bas kepada setiap anak pekerja ladang bagi mengurangkan perbelanjaan seisi keluarga. Sehingga kini sebanyak 1,477 pelajar telah mendapat manfaat daripada program ini.

    Sebanyak RM10 juta telah diperuntukkan pada tahun 2015 di bawah Tabung Biasiswa Selangorku khusus untuk anak Selangor dari desa dan keluarga berpendapatan rendah yang menuntut di Universiti Selangor (UNISEL) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) sebagai galakan dan bantuan pembelajaran di universiti. Program Hadiah Anak Masuk Universiti diteruskan kepada keluarga yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan. Kerajaan turut menawarkan 10 tempat di UNISEL untuk anak-anak orang asli yang dibiayai sepenuhnya kerajaan Negeri di bawah Biasiswa Sagong Tasi.

    iv) Meningkatkan Keupayaan Rakyat Luar Bandar Melalui Program Pembangunan Keusahawanan

    Kerajaan turut menggerakkan usaha membantu golongan berpendapatan rendah dan pertengahan di luar bandar melalui Program Pembangunan Usahawan Desa dan Kampung Tradisi Negeri Selangor. Program ini dilaksanakan berdasarkan konsep memberi “pancing bukan ikan” supaya rakyat dapat menggunakan ilmu dan kemahiran yang diperolehi untuk melonjakkan diri menjana pendapatan dalam jangka masa panjang. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama dua (2) institusi pendidikan iaitu INPENS International College, Kuala Selangor dan Institut Teknologi Kulinari Anjung Utara (ITKAU) di Kuala Kubu Baru. Program ini mensasarkan golongan belia dan beliawanis desa, ibu tunggal dan suri rumah serta peniaga kecil-kecilan di desa.

    1. Industri Komuniti Kampung
      • Program Pembangunan Usahawan Kemahiran, INPENS;
      • Program Pembangunan Usahawan Penjaja Makanan dan minuman, ITKAU; dan
      • Program Pembangunan Sebagai Juruterapi Komplimentari Berdaftar (KKM), Bidan Kampung Stimulatherapy & Terapi Kesihatan

     

    1. Kursus Kemahiran Jangka Pendek
      • Program Motosikal;
      • Program Dandanan Rambut;
      • Program Penyejukbekuan & Penyamanan Udara;
      • Program Jahitan;
      • Program Kecantikan; dan
      • Program Pembangunan Usahawan Penjaja Makanan dan
    1. Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan

    Program ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk meningkatkan taraf ekonomi melalui peningkatan pendapatan bagi golongan masyarakat individu yang berpendapatan di bawah RM1,500.00 sebulan atau pendapatan seisi rumah di bawah RM3,000.00 terutamanya melibatkan peniaga-peniaga kecil.

    Program ini dilaksanakan dengan pemberian bantuan peralatan atau  mesin berdasarkan perusahaan yang sedang dijalankan. Antara lima (5) skop utama perusahaan adalah seperti jahitan, perniagaan makanan, perniagaan runcit, pengasuh kanak-kanak dan kraftangan. Sehingga September 2015, jumlah penerima manfaat bagi Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan adalah seramai 2,386 orang.

    vi) Program Bantuan Perumahan

    Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin diwujudkan adalah khusus untuk membantu rakyat untuk mendapatkan sebuah rumah yang selesa dan selamat untuk didiami kepada golongan sasar pendapatan seisi rumah di bawah RM1,500.00 sebulan dengan berpandukan syarat dan kelayakan yang telah ditetapkan. Program ini dilaksanakan di bawah Jawatankuasa tetap Kerajaan Prihatin melalui dua (2) jenis bantuan iaitu :

    • Bina baru rumah tiga (3) bilik berserta satu (1) bilik air dengan had siling RM35,000.00 bagi sebuah rumah; dan
    • bantuan baikpulih rumah dengan kos tidak melebihi RM20,000.00 bagi sebuah rumah.

    Bantuan ini diutamakan kepada pemohon yang mempunyai tanggungan yang ramai, menduduki rumah yang daif dan tidak selamat untuk diduduki. Di bawah Program ini, kelulusan bagi sesebuah rumah adalah tertakluk kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa tetap Kerajaan Prihatin.

    Selaras dengan hasrat Kerajaan ke arah 1Keluarga, 1Kediaman, Kerajaan melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Selangor (LPHS) telah memperuntukkan RM10 juta di bawah Skim Pembiayaan Perumahan Selangorku bagi membantu peneroka bandar yang sukar mendapat pembiayaan perumahan memiliki rumah dengan konsep sewa dan milik.

    Selain itu, Kerajaan turut berusaha meringankan beban rakyat untuk memiliki rumah pertama dengan mewujudkan Skim Selangor Smart Home Buyers menerusi pendahuluan bayaran deposit sebanyak sepuluh peratus bagi belian rumah Selangorku jenis B dan C.

  2. Apakah Kerajaan Negeri akan menubuhkan jawatankuasa peringkat negeri untuk membantu rakyat dalam soal kenaikan harga barang?

    Tidak ada jawatankuasa ditubuhkan di peringkat negeri kerana isu pemantauan dan penguatkuasaan harga barang adalah di luar bidang kuasa Kerajaan Negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.